Hiburan
Remy Ishak Jumpa Pakar Kanser
Pelakon Remy Ishak akui merujuk pada doktor untuk melakonkan watak sebagai pesakit kanser tahap empat dalam telefilem, Tercipta Untukku.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Bin Ishak, 34, berkata inisiatif tersebut diambil untuk menyelami perasaan dan juga reaksi pesakit sebaik sahaja mengetahui tentang penyakit yang dihidapi.
“Untuk watak ini saya rujuk pada doktor untuk tahu bagaimana perasaan pesakit sebaik saja diberitahu mengenai penyakit tersebut.
“Saya tanya pada doktor tentang emosi dan keadaan mereka, doktor ada beritahu biasanya pesakit tahap empat ada pelbagai jenis, ada yang nampak sakit dan ada juga yang nampak normal.
“Tapi bila orang cakap peaskit kanser tahap empat secara automatik akan terbayang mereka terlantar di katil tapi sebenarnya ada yang nampak sihat.
“Doktor juga kata ada yang tak tahu mereka sebenarnya ada kanser, bila sakit mereka ingat itu hanya sakit biasa dan bila buat pemeriksaan barulah dapat tahu dah tahap empat.
“Melalui rujukan doktor itulah saya cuba salami perasaan pesakit kanser dan menterjemahkannya dalam bentuk lakonan.
“Dan skrip yang saya dapat itu juga sama dengan penerangan doktor dan saya ‘salute’ dengan penulis skrip kerana dia buat ‘research’ tentang perkara ini,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.
Berbicara mengenai telefilem Tercipta Untukku, Remy memberitahu dia menerima naskah tersebut kerana watak ‘Adil’ selain jalan cerita yang menarik.
“Untuk telefilem ini saya memegang watak sebagai Adil, seorang pesakit kanser tahap empat dan hanya ada masa enam bulan saja untuk hidup.
“Sejujurnya saya pilih naskah sebab saya nampak jalan ceritanya menarik dan memberikan kesan di mana apa yang anda akan lakukan bila tahu tempoh kematian anda sendiri.
“Saya juga diberitahu projek ini khas untuk Astro First dan saya akui sedikit selektif tentang sesuatu projek.
“Saya akan fikir projek itu datangnya daripada mana dan ceritanya tentang apa. Untuk naaskah ini, saya suka jalan cerita dan juga rencah yang ada pada skrip tersebut.
“Maknanya dia bulanlah satu cerita yang ‘flat’. Saya sebagai pelakon seronok melakonkan watak tersebut kerana boleh bermain dengan emosi.
“Ada sedikit komedi, romantik dan juga serius, jadi penonton juga boleh nampak sesi lain Remy Ishak dalam telefilem ini,” jelasnya.
Selain Remy, Nabila Huda juga merupakan teraju utama telefilem tersebut.
Tercipta Untukku ditayangkan secara eksklusif sempena Aidilfitri pada 6 Julai ini di Astro First Eksklusif (saluran 480) dengan hanya RM15.90 (termasuk GST).