Laman Utama
Renjana Angkat Kisah Guru Wanita Pertama Tanah Melayu, Penerbit; "Mencabar Nak Wujudkan Balik Era 1900-an"
Kisah kaum wanita yang berhadapan dengan kesukaran mendepani hidup dan pelbagai cabaran menjadi tema utama yang diangkat menerusi filem Renjana.
Filem yang menggunakan latar masa tahun 1900-an itu sebenarnya cukup indah untuk diperhalusi dan dikaji memandangkan ia mengangkat tema wanita yang jarang sekali diangkat ke layar perak.
Bagi penerbit Mache All Star United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah Shaari, menganggap apa yang dipersembahkan di dalam Renjana sebagai satu kisah unik dan menarik untuk ditonton.
"Memang kami memberanikan diri menerbitkan naskhah klasik kerana percaya kisah begini memang ada peminat tersendiri dan mahu lari daripada kebiasaan.
"Kisah yang berlaku kepada wanita pada pada ketika itu tidak diketahui ramai. Jadi berdasarkan kajian dan pemerhatian, kita mahu mengangkat tema ini menjadi sebuah naskhah filem.
"Tidak ramai yang mengetahui kisah seorang wanita yang menjadi guru pertama di Tanah Melayu. Dia lambang perjuangan wanita yang luhur dalam membela anak bangsa," kata Norley lagi.
Renjana mengangkat kisah seorang wanita bernama Che Aminah dari Pulau Pinang yang dipandang ‘sial’ oleh penduduk kampung.
Berkahwin dengan Ramlee, dia dicurangi dan sebaik sahaja bercerai. Bertemu dengan Johan, Che Aminah mula mendapat semangat baharu.
Dia kemudian belajar membaca dan menjadi guru wanita pertama di sebuah sekolah di Seberang Perak pada tahun 1900-an.
Antara pelakon yang terlibat dalam naskhah ini terdiri daripada Nabila Huda, Saharul Ridzuan, Fauzi Nawawi, Aida Aris dan Hasnul Rahmat.
Tambah Norley, Renjana diambil inspirasi daripada kisah guru pertama itu namun ditambah dengan beberapa plot lain oleh penulis skrip Adza Emi Adenan untuk menghidupkan jalan cerita.
"Tidak dinafikan memang banyak cabaran yang dihadapi untuk menyiapkan naskhah ini terutama untuk mewujudkan kembali latar masa era 1900-an.
"Kita perlu membataskan pergerakan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan ketika itu namun kita mampu menyiapkan meskipun melalui beberapa kekangan.
"Kita berterima kasih kepada semua pelakon yang terlibat kerana mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sehingga Renjana disiapkan," tambahnya lagi.
Mereka memilih beberapa lokasi di Air Keroh, Melaka, Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur dan Taman Botani Shah Alam sebagai lokasi utama.
Selain membina prop serta busana direka khas dan menggunakan lokasi sedia ada, beberapa perincian lain turut diambil kira bagi memastikan keseluruhan ‘wajah’ Renjana berlatar belakangkan 1900-an.
Menurut Norley lagi, meskipun mereka menghabiskan sejumlah besar bajet untuk prop, ia memberikan kepuasan tidak terhingga kepada semua apabila Renjana bakal ditayangkan.
Sudah mula ditayangkan di Astro First sejak 17 Mac, Renjana merupakan sentuhan pengarah Pali Yahya yang bakal membawa penonton untuk kembali mengembara ke dekad tersebut.
Perjuangan kaum wanita untuk mendapatkan pendidikan menjadi teras utama kepada keseluruhan naskhah Renjana.
"Kita berharap penonton akan menyambut baik naskhah ini memandangkan ia muncul berbeza berbandingan dengan naskhah lain yang sedia ada.
"Kami berbesar hati sekiranya penonton dapat melanggan dan memberikkan maklum balas kepada Renjana. Ini yang kami harapkan," kata Norley lagi.
Selain beberapa nama besar tersebut, naskhah ini turut dibintangi oleh Kodi Rasheed, Nadia Aqeelah, Zamarul Hisham, Mak Wan Latah, Sefik Khair dan pelakon kanak-kanak Dura Mitilda.
** Renjana kini sudah boleh dilanggan di Astro First saluran 480 bermula 17 Mac. **