Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Review: Lama Tak Tonton Karya ‘Roller Coaster’ Macam Ni! Ali & Ratu Ratu Queens Sarat Dengan Kejutan

Hanafis Haris 17/06/2021 | 13:45 MYT
Filem Ali & Ratu Ratu Queens telah pun mula ditayangkan hari ini menerusi platform striming, Netflix.

Mengangkat tema kekeluargaan dan persahabatan, filem ini menampilkan kelainan apabila penggambarannya turut dijalankan di New York.

Jadi apakah sebenarnya kekuatan filem ini? Adakah ia wajib ditonton?

Ini antara pandangan penulis terhadap Ali & Ratu Ratu Queens.

Secara keseluruhan jalan cerita filem ini boleh dikatakan sangat mudah dan ringan untuk ‘dihadam’.

Biarpun dianggap sebagai filem yang kompleks dan penuh dan emosi, namun percayalah, jalan ceritanya sangat ringkas, in good way.

Permulaan cerita ini ‘disajikan’ dengan cukup tenang, namun seperti mana filem lain, ia tidak kekal lama apabila tercetusnya konflik dalaman.

Fast foward, Ali kemudian nekad untuk ke New York untuk mencari ibunya.

Ketika inilah berlakunya ‘magis’ perjalanan hidup Ali apabila dia berjumpa dengan sekumpulan ‘tante’ atau makcik Indonesia yang mendiami Queens.

Setiap daripada mereka mempunyai pelbagai karakter dan personaliti berbeza, sekali gus menjadikan filem ini sangat ‘colourful’ bagi pendapat penulis.

Anda akan dibawa mengenali setiap karakter ‘tante’ ini dalam Ali & Ratu Ratu Queens.

Selain itu, kehadiran Ali di New York pastinya akan ‘menjentik’ hati penonton yang rindukan suasana ketika melancong, apatah lagi melihat kecantikan berada di tengah-tengah Times Square.
Ok, berbalik kepada filem ini, kekuatan utamanya sudah tentu pada Ali yang dilakonkan oleh Iqbaal Ramadhan.

Iqbaal membawa watak ini dengan cukup bersahaja. Tidak berlebihan dan tidak kurang, just nice.

Penulis boleh rasakan perasaan rindu yang melampau serta keperitan terpaksa ditanggungnya. Perasaan gembira dan teruja berjumpa dengan ratu-ratu Queens, semuanya disampaikan dengan cukup santai.

Namun, kekuatan filem ini tidak hanya terletak pada watak Ali dan barisan ‘tante-tante’ ini sahaja.

Pujian harus diberi kepada Marissa Anita yang membawa watak ibu kepada Ali iaitu Mia.

Watak Mia boleh dianggap sangat kompleks dan jarang sekali kita dapat lihat watak ini ditonjolkan.

Emosinya bak roller coaster, kejap naik kejap turun. Pada masa sama sangat misteri, seperti ada yang mahu diluahkan tapi tidak terdaya. Kompleks bukan?

Apapun kudos untuk semua pelakon utama termasuklah ‘tante-tante’ Queens.

Gabungan elemen keluarga, emosi, komedi dan sedikit babak percintaan menjadikan filem ini sesuai ditonton bersama keluarga.

Tiada banyak untuk diperkatakan tentang kekurangan untuk filem ini, namun jika elemen komedi itu ditambah, mungkin ia bakal lebih kick dan mengimbangi babak-babak emosi yang penuh drama.

Apapun anda tidak akan rasa bosan sepanjang 1 jam 40 minit kerana ‘pacing’ filem ini agak laju.

Ibarat sedang melancong sambil ditemani dengan pengembaran Ali di New York!

Rating Gempak : 8/10

Selain Iqbaal Ramadhan dan Marissa Anita, filem ini turut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Nirina Zubir, Asri Welas, Tika Panggabaen, Happy Salma, Aurora Ribero dan ramai lagi.

Anda sudah boleh menonton karya Lucky Kuswandi ini menerusi Netflix bermula hari ini!

#Viral #Filem #Netflix #Ali dan Ratu-Ratu Quenns
;