Laman Utama

Rilis Single Keempat Berjudul Hello, Farisha Iris Tak Terdesak Kejar Populariti

Maliah Surip
23/01/2021
12:50 MYT
Sponsor Banner
Rilis Single Keempat Berjudul Hello, Farisha Iris Tak Terdesak Kejar Populariti
Mula menyertai pertandingan nyanyian pada usia 12 tahun menerusi program Idola Kecil 2011, penyanyi muda ini tidak pernah berhenti dan mengenal erti putus asa.
Malah, pemilik nama Farisha Iris ini juga tidak pernah jemu untuk memperkenalkan bakat nyanyian dimiliki. Baginya, nyanyian itu adalah minat dan sudah sebati dalam dirinya.
Seperti mana tingginya cita-cita yang ingin digapai, begitu juga besarnya harapan Farisha, 22, atau nama sebenarnya Farisha Asmadi untuk terus memperjuangkan muzik dan kerjaya seninya.
Disebabkan itu, pembabitannya menerusi program Big Stage musim ketiga tahun lalu dianggap platform terbaik buat dirinya memperkenalkan lagi nama dan bakat yang dimiliki kepada peminat dan pencinta muzik tempatan.
Berbekalkan keyakinan sekali gus memenuhi permintaan peminat yang inginkan buah tangan terbaharu daripadanya, Farisha muncul dengan single Hello yang diterbitkan secara usahasama oleh syarikat rakaman Nova Music dan Seventeen Eleven Music.
Lagu Hello yang berentak pop itu adalah ciptaan komposer terkenal, Audi Mok dan Shazee Ishak manakala lirik ditulis oleh Arisz Ab Rahman.
“Alhamdulillah, ini adalah single keempat saya. Sekali lagi saya merakamkan lagu berentak pop sama seperti single sebelum ini. Apa saya perasan, peminat sekarang pun sukakan genre pop.
“Jadi, apabila saya merakamkan lagu ini, saya berasa orang boleh terima. Apatah lagi lagu ini sangat mesra telinga dan pasti mudah diterima. Pendek kata ia bukan lagu berat dan sesuai untuk semua.
“Kalau nak cakap genre yang diminati, diakui saya sukakan lagu balada kerana membesar dengan lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza. Secara tak langsung ia mempengaruhi minat saya. Tapi, apabila saya merakamkan lagu, ternyata rakaman lagu pop menjadi genre yang dikaitkan dengan diri saya.
“Kebetulan pula dari dulu sehingga sekarang, memang selalu dapat lagu bergenre pop. Jadi, saya anggap mungkin komposer dan penerbit berasakan vokal saya lebih sesuai dan kena dengan lagu pop. In Sya Allah, kalau ada peluang dan rezeki lain, saya mahu mencuba merakamkan lagu balada pula selepas ini,” katanya.
Istimewanya, lagu Hello itu juga bakal menjadi lagu tema bagi drama rantaian Hello, Jangan Tapau Cintaku.
“Saya anggap ini adalah permulaan yang bagus untuk lagu Hello untuk dikenali ramai. Malah, ia juga satu bentuk promosi buat lagu saya kepada penonton drama tempatan. Jika ada rezeki, mungkin lagu ini juga boleh pergi jauh dan stesen radio boleh berterusan memainkan lagu ini.
“Lagi pula, jalan cerita lagu ini sama seperti jalan cerita drama. Ia sedikit sebanyak boleh menarik perhatian penonton dan pendengar,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai kerjaya seninya, Farisha berkata, program Big Stage yang disertainya sedikit sebanyak memperkenalkan lagi dirinya dalam industri muzik tanah air.
“Program Big Stage 2020 adalah platform yang bagus untuk saya. Pada awalnya orang tak tahu saya boleh menyanyi. Ramai ingat saya hanya boleh mengacara sebab selama ini memang banyak terbabit dalam bidang pengacaraan.
“Jadi, sejak dalam program itu secara perlahan-lahan penonton dan peminat mulai mengenali diri dan bakat saya. Malah, program itu juga menjadi medan untuk saya membuktikan bakat sebenar dengan mencabar diri menyanyikan lagu dari pelbagai genre.
“Walaupun saya tersingkir pada minggu separuh akhir, tapi ia bukan penamat kepada kerjaya saya. Sebaliknya, selepas keluar dari progam itu saya sudah tahu ke mana hala tuju untuk pergi dan memberi fokus. Malah, saya mahu lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.
“Saya tidak mahu usaha selama beberapa minggu dalam program itu berakhir di situ sahaja. Apa yang penting orang tahu bakat saya dan saya mahu cuba buat yang lebih baik,” katanya.
Farisha yang pernah mengacarakan beberapa program TV berkata, dia tidak terdesak dalam soal populariti.
“Saya tak terlalu mengejar ke arah itu atau terdesak nak popular. Kalau popular itu datang, saya anggap ia rezeki. Saya akan terus berusaha dan percaya dengan usaha gigih, kejayaan akan dapat dicapai.
“Lagi pula macam sekarang saya ada komitmen lain dibuat iaitu menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di UiTM, Shah Alam. Jadi, dalam masa sama memang kena fokus belajar juga,” katanya.
Ditanya sama ada dia mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu duet, Farisha berkata teringin untuk bekerjasama dengan rakan peserta Big Stage musim ketiga.
“Saya ada terfikir nak buat lagu duet juga. In Sya Allah, kalau diberi peluang saya nak berduet dengan rakan dalam Big Stage musim ketiga,” katanya.
Single terbaharu Hello Farish Iris telah dilancarkan di semua pelantar muzik digital pada hari Jumaat. Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar