Hiburan
Rossa Jual Perfume Online Untuk Peminat Malaysia
Penyanyi popular Indonesia, Rossa akui bakal memasarkan haruman jenamanya sendiri menerusi atas talian untuk peminat di Malaysia.
Rossa berkata dia bakal berkolaborasi dengan portal Prettysuci.com iaitu stor dalam talian barangan kecantikan dan penjagaan kulit khusus untuk produk halal.
"Sejak perfume saya dilancarkan pada tahun lalu, ia mendapat sambutan yang menggalakan daripada peminat saya di sana (Indonesia).
"Jadi dengan adanya portal seperti Pretty Suci ini peluang saya untuk memasarkan secara online di Malaysia pula.
"Saya jangka dalam tahun ini juga ia akan memasuki stor dalam talian tersebut," katanya kepada Astro Gempak.
Perfume Rossa mempunyai tiga jenis haruman iaitu My Love, My Life dan My Music.
Rossa memberitahu dia berbesar hati apabila dijemput pemilik Pretty Suci iaitu YM Tunku Dato' Kaisyisah dan Natasha Ozier untuk memasarkan harumannya itu.
"Saya sudah mengenali pemiliknya iaitu Kaisyisah dan Natasha Ozier sebelum ini dan saya amat menyokong apa yang mereka lakukan.
"Di Indonesia amat susah untuk mencari produk kecantikan yang halal, jadi usaha mereka ini perlu disokong.
"Saya berbesar hati untuk bekerjasama," katanya lagi.
Teks oleh: Syafiqah Jalal