Laman Utama
Rossa Syukur Bayaran RM37,000 Hasil Nyanyian Tidak Disita
Pesohor Indonesia, Rossa baru-baru ikut terjebak secara tak sengaja dalam sebuah kes membabitkan scammer atau penipuan perniagaan haram yang berselindung di sebalik nama DNA Pro.
Penyanyi genit tersebut telah dipanggil pihak polis tempatan untuk membantu siasatan selepas diketahui terbabit membuat persembahan dalam salah sebuah acara yang berkaitan dengan DNA Pro pada Disember tahun lalu di Bali.
Beliau dikatakan telah menerima bayaran sebanyak Rp120 juta atau sekitar RM37,000 hasil dari persembahan yang dilakukan di acara tersebut. Rossa kemudian telah memulangkan wang tersebut kepada pihak polis.
Selepas memenuhi panggilan polis dan memberi keterangan sekaligus membuktikan beliau sama sekali tidak terbabit secara langsung dengan sindiket yang telah menipu banyak pihak itu, hasil bayaran persembahan Rossa tidak disita pihak polis.
“Alhamdulillah, Allah masih melindungi. Mungkin masih rezeki saya juga,” kata Rossa seperti dilaporkan Detik.com.
Rossa juga memberitahu media tempatan, pihak berkuasa berpuas hati setelah meneliti kontrak pembabitannya dalam acara tersebut yang disifatkan tidak mempunyai unsur untuk mempromosikan perniagaan haram tersebut.
“Jadi saya mendapat undangan pekerjaan ini lewat pengurusan. Saya tidak kenal siapa pemilik atau apa yang berkaitan dengan DNA Pro.
“Setelah pihak berkuasa meneliti kontrak persembahan saya tidak ada indikasi untuk mempromosikan mereka dan sah, maka wang yang saya terima sebagai penghibur tidak perlu dipulangkan,” jelas ibu satu anak ini lagi.