“Rumah Sewa Pun Ayah Tak Bayar Lagi” - Terkesan Penangguhan Kemasukan IPT, Lihat Bagaimana Netizen Berganding Bahu Untuk ...
Biarpun ada yang bersetuju dengan tindakan berkenaan, namun tidak kurang juga bersimpati dengan situasi golongan kurang berkemampuan yang sudah membelanjakan wang untuk menghantar anak masing-masing.
Meninjau beberapa situasi di Twitter, ramai yang meluahkan situasi kesempitan hidup mereka susulan keputusan KPT itu.
Malah, ada salah satunya berkongsi kisah yang mana ayahnya terpaksa menangguh pembayaran rumah sewa untuk mendahulukan pembayaran tambang kemasukan ke Politeknik.
Menerusi satu posting dimuat naik kelmarin, pelajar itu memberitahu tahap kewangan ayahnya kian merosot.
“Rumah sewa ni pun ayah tak bayar lagi kakak. Nak bagi duit adik tambang balik poli lagi,” katanya.
Posting tersebut telah dikongsi sebanyak 14,300 kali dan menerima 12,000 likes.
Susulan itu, netizen dilihat telah berganding bahu untuk membantu pelajar tersebut dengan menyalurkan bantuan terus ke akaun bank.
“Hello semua, saya rasa dah cukup semuanya, Terima kasih semua, saya sangat hargai. Bantulah orang lain juga yang memerlukan,” kata pelajar tersebut menerusi posting terbarunya.
Selain pelajar berkenaan, terdapat beberapa juga pelajar lain yang berkongsi masalah dan telah dibantu oleh netizen.
Biarpun bantuan tersebut dilihat satu sikap yang murni, namun ada juga yang bimbang sekiranya ia satu ‘sandiwara’ dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Untuk rekod, KPT sebelum ini memaklumkan keputusan menangguhkan kemasukan pelajar perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad juga menegaskan, bagi pelajar yang sudah tiba, mereka boleh terus kekal di kampus dan menunggu arahan seterusnya oleh pihak universiti.
Menurut beliau, bagi pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, mereka diminta supaya menangguhkan seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.
"Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini," katanya.