Laman Utama

Saat Parade Hujan X Sore Membius Penonton Dengan Muzik Nan Sakti

Maliah Surip
03/10/2023
11:25 MYT
Sponsor Banner
Saat Parade Hujan X Sore Membius Penonton Dengan Muzik Nan Sakti
Di saat lebat hujan pada sebelah petang Sabtu lalu, suasana tersebut seperti sedang menyambut dua kumpulan yang muzik mereka bukan tentang menghiburkan semata-mata, tetapi selalu memberi kesenangan yang berbeza.
Untaian lirik manis nan puitis berbalut kemas dalam susunan muzik sakti yang membuat penggemar mereka ‘kelemasan’ sendiri — saat Parade Hujan dan Sore muncul di panggung Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja).
Manis. Membuai emosi lalu membuahkan senyum sendiri dan tentulah konsert yang dibawakan oleh Neptunes Presents itu sebuah lagi siri yang tidak akan dilupakan.
Meski penganjur sempat mengaku tiket hanya terjual 50 peratus ironi yang disaksikan dalam Megastars Arena pada malam tersebut lebih daripada kegusaran ‘tiada sambutan’.
Sekitar 3,500 penggemar memenuhi Megastars Arena yang disimbahi permainan cahaya lampu seiring visual-visual hangat dan tidak berlebihan yang mewakili muzik kedua-dua kugiran Indonesia ini.
Bagi penggemar Sore, ibarat ‘dosa besar’ untuk tidak menyambut kehadiran kugiran indie yang berdiri sejak 2002 itu di Malaysia.
Buat penggemar dengan usia rata-rata 35 dan ke atas, Sore bukan asing. Ambang, Setengah Lima, No Fruits For Today, Somos Libres, Lihat atau Pergi Tanpa Pesan dan Musim Ujan adalah halwa telinga yang sering mengisi dahaga muzik.
Dan lewat Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja), saat Sore mengalunkan untaian tersebut secara langsung, ia adalah sebuah kepuasan yang terbayar.
Selain muzik, Sore menumpahkan seluruh pengalaman bermain di panggung demi panggung dengan bicara dan usikan sederhana yang melambangkan kematangan kugiran ini dalam belantika muzik.
Tentulah kehadiran Noh Salleh buat pertama kali selepas menikah berduet sama dengan Sore menjadi antara yang dinanti penggemar yang antaranya mengalunkan Angin Kencang.
Kolaborasi Sore bersama Atilia Harun juga manis menerusi Silly Little Thing serta Essensimo.
Setelah Sore mengundurkan diri lewat pengalaman manis yang diberikan, Parade Hujan mengambil alih panggung bersama aura mereka.
Pernah berdiri sebagai Payung Teduh kemudian vokalisnya Is Pusakata sebelum Parade Hujan mewakili perjuangan muzik mereka saat ini, mereka pantas menyihir penggemar dengan permainan secara langsung yang sangat mengesankan.
Parade Hujan membawa penggemar pulang ke masa silam lewat lagu lama mereka, membuat semua tersenyum sendiri dan bergoyang sedikit malah terdengar jeritan bahagia saat lagu-lagu seperti Datang, Selalu Muda, Muram, Rahasia,Tidurlah, Puan Bermain Hujan dan Di Atas Meja dihidangkan.
Suasana konsert ditemani Agal Muzik Ensemble, pemuzik orkestra tempatan bertambah hangat dengan penampilan Ernie Zakri berduet bersama Parade Hujan dengan lagu Berdua Saja dan Mari Bercerita.
Itu belum lagu saat Parade Hujan membawa dua lagu milik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang disifatkan Is sebagai ‘penyelamat selera muziknya’, Nak Dara Rindu dan Engkau Laksana Bulan yang mengasikkan.
Dan tidak lengkap persembahan Parade Hujan tanpa lagu-lagu yang sudah membuat mereka dipuja —— Cerita Gunung & Laut, Untuk Perempuan, Akad dan Menuju Senja sebelum disudahi dengan Resah yang membuat konsert ini ditutup dengan semanis-manisnya.
Terdahulu Konsert Senandung Malam - Payung Teduh X Sore (Setengah Lima Menuju Senja) dibuka dengan Mafidz yang juga memberikan persembahan mantap pada sebelah petang.
Apapun tahniah untuk Naptunes Presents kerana keberanian dan keyakinan bahawa selera muzik yang berbeza (mungkin bagi segelintir pendengar alunan mereka boleh membuat lena) perlu diraikan bersama.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar