Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Sajat Didakwa Lolos Ke Thailand, KTMB Beri Kenyataan

Asraf Aided 20/09/2021 | 22:40 MYT
Nama usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad atau Nur Sajat sekali lagi mencetus kekecohan apabila didakwa meloloskan diri ke Thailand dengan menaiki kargo tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Susulan itu, KTMB tampil dengan kenyataan mengatakan pihak mereka tidak bertanggungjawab atas segala isi kandungan kontena yang disewa pelanggan sama ada kosong, atau mempunyai muatan.
"Kontena-kontena kargo yang dibawa ke Thailand adalah milik syarikat perkapalan yang telah disewa oleh pelanggan-pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand. KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena tersebut samada kontena kosong atau bermuatan," jelas KTMB.
Dalam pada itu, KTMB menegaskan fasiliti dan terminal kargo pihak mereka di Padang Besar dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
"Fasiliti dan terminal kargo KTMB di Padang Besar adalah kawasan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan dan Kastam.
"Setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang teliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara di sempadan. Proses ini melibatkan pemeriksaan dokumentasi serta fizikal ke atas gerabak dan barangan," katanya lagi.
Bagaimanapun, KTMB akan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan berkenaan.
"Walaubagaimanapun KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara yang dilaporkan," akhirinya.
Difahamkan, KTMB membuat kenyataan itu ekoran sebuah laporan portal tempatan pada Isnin, tentang Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand melalui gerabak kereta api kontena kargo.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Nur Sajat telah ditahan oleh pihak imigresen Thailand pada 8 September dan dibawa ke mahkamah negara berkenaan keesokan harinya.
Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
BACA: Sajat Sudah Ditahan Di Bangkok, Sedang Tunggu Kebenaran Pindah Ke Australia
#Nur Sajat #Thailand #sajat #KTMB #KTM
;