Laman Utama
Sajat Dipercayai Sudah Di Luar Negara, KPN 'Pujuk': "Balik & Pergi ke Mahkamah"
Tindakan usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang masih 'menghilangkan diri' dan masih gagal menghadirkan diri ke mahkamah bagi berhadapan dengan kes yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor mendapat perhatian daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Seperti 'memujuk anak' Abdul Hamid Bador meminta Sajjad agar segera keluar dari tempat persembunyiannya.
Menurutnya, ketika ini, pihak polis masih belum mendapat sebarang perkembangan tentang kedudukan dan keberadaan usahawan kontroversi terbabit yang dipercayai sedang berada di luar negara.
Tambah beliau, pihaknya turut berasa hairan dengan tindakan yang dilakukan Nur Sajat ketika ini iaitu dengan melarikan diri memandangkan dia tidak menghadapi sebarang pertuduhan atau hukuman yang berat di mahkamah.
Abdul Hamid turut menjelaskan bahawa polis sebelum ini telah berjaya mengesan keberadaan Nur Sajat dan cuba untuk menahannya namun terdapat beberapa kekangan terutama kewujudan lorong tikus di sempadan negara telah menggagalkan usaha tersebut.
"Saya harap dia bertanggungjawab, itu private life dia, saya tahu, (tetapi) janganlah apabilah dia berada di luar negara ke, tempat persembunyian, dia masih lagi hendak mencuit perasaan orang ramai (dengan kenyataan dan tindakan yang dilakukannya), (saya minta dia) balik (dan) pergi ke mahkamah.
"Dia sudah memang di luar negara, masa dia lari dari mahkamah itu kita tidak dapat kesan, hanya kita tahu lebih kurang dia di mana. Kita ada teknik mengesan misalnya ada di Kedah, Perak, kita cuba hendak menahan dia di sempadan. Tetapi kena faham, sempadan kita bukan sahaja tembok, kalau mereka gunakan lorong tikus ini, sukar bagi kita," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Seksyen K9 Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM di Langkawi pada Ahad.
Rabu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Muhammad Sajjad berada di luar negara, namun pemantauan sedang dilakukan.
Kredit Foto: Awani