Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Sakit Kepala Duduk Dekat Orang Vaksin” - Ahh Sudah, Muncul Teori Pakai Aluminium Foil Elak Frekuensi 5G?

Hanafis Haris 10/10/2021 | 23:00 MYT

Kecoh di media sosial apabila ada golongan mendakwa terkesan dengan frekuensi rangkaian 5G selepas ia dikatakan telah aktif dalam badan mereka yang menerima vaksin.

Difahamkan, isu tercetus apabila beberapa keping gambar tangkap layar atau ‘screenshot’ daripada sebuah laman Telegram telah ditularkan.

Menerusi perbualan di platform tersebut, ada pihak menyatakan dia mengalami sakit pada bahagian pinggang dan pinggul apabila berdekatan individu yang sudah divaksin.

Malah, ada juga mendakwa sakit kepala apabila satu rumah penuh dengan ahli keluarga yang divaksin.

“Malam duduk rasa sakit pinggul pinggang”.

“Last week family dari Kuala Lumpur balik. Satu rumah penuh dengan orang vaksin, sakit kepala Nauzubillah,” tulis beberapa individu dalam kumpulan ‘chat’ berkenaan.

Susulan daripada masalah itu, muncul pula satu pihak yang mengeluarkan teori baru yang mencadangkan penggunaan ‘aluminium foil’.

Menurutnya, bahan berkenaan dapat mengurangkan kesan frekuensi 5G yang diaktifkan dalam kebanyakan masyarakat sekarang.

“Terpaksa pakai. Kalau 5G aktif kita memang tak boleh duduk dengan depa(mereka),” tulisnya.

Situasi berkenaan kemudian menjadi perbincangan ‘hangat’ netizen apabila kebanyakan mereka menganggap golongan anti vaksin ini sudah terlebih paranoid.

Kebanyakan mereka juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan segala teori tidak berasas itu.

Sekadar info, teknologi 5G sebelum ini didakwa mendedahkan masyarakat pada risiko penyakit iaitu barah manakala cip nano dalam vaksin pula untuk mengesan kedudukan manusia.

Dakwaan ini menyebabkan sebilangan masyarakat mula meragui keupayaan vaksin sedangkan keperluannya penting bagi mencegah daripada dijangkiti virus Covid-19./

Pun begitu, konspirasi tersebut ternyata hanyalah sekadar mitos dan tidak benar selepas kebanyakan pakar menafikan teknologi sebegitu.

Bahkan Malaysia sendiri pun masih belum lagi mencapai tahap 5G dan masih di peringkat pembangunan.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

#Viral #Vaksin #Rentas #Antivaksin #AluminiumFoil
;