Berita
Salah Ke Menyanyi Metal Dengan Pakaian Tradisional Melayu? - Awie
Rasanya ramai yang sudah tahu kumpulan Wings akan bergandingan dengan Bunkface dalam Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface, pada 4 Mei ini.
Bagaimanapun, ramai belum tahu tentang ‘kelainan’ bakal ditampilkan dalam konsert yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, bermula 8.45 malam itu.
Vokalis Wings, Datuk Awie berkata, untuk merealisasikan konsep konsert kali ini, mereka dan Bunkface akan muncul di pentas dengan pakaian tradisional Melayu.
“Meskipun Wings dan Bunkface bakal mempersembahkan lagu-lagu berentak rock dan metal, kami akan kekalkan elemen tradisi menerusi busana yang kami pakai.
“Muzik kita sekarang ini hanyalah ikut-ikutan dan pinjam-pinjaman, apa lagi keaslian yang boleh kita tunjukkan? Pakaian tradisional Melayu,” katanya pada Majlis Sidang Media ‘Look and Feel’ Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface, petang Khamis.
Selain busana, set pentas juga direka unik dengan latar belakang gelanggang silat, bagaimanapun susunan muzik dikekalkan.
Dalam pada itu, Awie turut berharap segala yang dirancang berjalan lancar.
“Wings bakal mencecah usia 35 tahun pada 2020 ini, jadi sudah sampai masanya jenama Wings diperluaskan untuk kami melakukan sesuatu dalam tempoh masa 10 hingga 15 tahun ini.
“Antara yang sudah dirancang bagi meraikan 35 tahun penubuhan Wings tahun depan ialah konsert jelajah ke Pulau Pinang, Batu Pahat, Jengka dan kembali ke Kuala Lumpur.
“Selepas 10 hingga 15 tahun, Wings mungkin tutup buku dan bersara, jadi masa yang ada ini kami akan gunakan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan Bunkface menyatakan rasa teruja pertama kali akan berkongsi pentas dengan legenda rock Wings.
“Kami harap tidak ada yang membandingkan Bunkface dengan kumpulan hebat seperti Wings dan akan melakukan yang terbaik pada malam konsert nanti.
“Terima kasih kepada Wings kerana memberi penghormatan ini kepada kami dan pastinya kami berkongsi pentas yang sama untuk menghiburkan penonton sehingga puas, bukan bersaing untuk tunjuk siapa lebih bagus,” kata Bunkface dianggotai Sam, Paan dan Youk.
Tiket Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface dijual secara manual dan tidak menggunakan sebarang agen tiket online.
Harga tiket ialah RM150 untuk standard (berdiri) manakala RM450 (duduk) untuk pembeli tiket yang dapat menyaksikan sesi soundcheck (sehari sebelum konsert), berserta jamuan ringan dan merchandise istimewa 1000 pembeli pertama akan mendapat merchandise istimewa.
Memandangkan tiket-tiket dijual secara manual, terdapat dua cara membeli tiket iaitu sistem tempahan atau pembelian terus di kaunter.
Tempah tiket dengan agen dikenali sayap-sayap Wings (senarai dan nama di Instagram dan Facebook).
Semua tiket dijual secara manual dan untuk yang memesan pada sayap-sayap Wings boleh menebusnya di kaunter tiket pada 2 Mei hingga 4 Mei ini.
Keterangan lanjut mengenai konsert ini dan pembelian tiket boleh dirujuk di laman sosial rasmi Wings iaitu Instagram: @sayap2wings dan Facebook: Sayap-Sayap Wings.