Laman Utama
“Salah Satu Ketakutan Yang Besar Buat Saya” - Mizz Nina Akui Bimbang Tidak Gunakan Masa Yang Allah Berikan Sebaiknya
Pada 4 Ogos lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pengumuman perceraian antara pasangan selebriti Mizz Nina dan bekas suaminya, Noh Salleh.
Menerusi pengumuman yang dilakukan di Instagram, Nina dan Noh masing-masing mengakui bersetuju untuk berpisah selepas sebelas tahun mendirikan rumah tangga bersama.
Baik Nina dan Noh, kedua-duanya juga berharap agar peminat dan pengikut menghormati privasi selain terus meluncurkan doa buat mereka.
Selepas beberapa hari pengumuman tersebut dilakukan, Nina dilihat berkongsi pula gambar terbaharu bersama anak angkatnya, Musa ketika bersiar-siar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Nina, bagus untuk dirinya keluar seketika dan mendapatkan udara segar serta matahari bersama anak dan teman-teman.
“Melawat pameran lampu daripada team Jepun - struktur seperti telur ini akan menyala hanya pada malam hari. Tapi alhamdulillah, masih bagus untuk keluar seketika dan mendapatkan udara segar serta matahari bersama Musa dan kawan-kawan.
“Alhamdulillah atas doa dan kata-kata semangat, bijaksana dan sokongan, semoga Allah membalas dan mengurniakan kalian dengan lebih banyak khayr, kasih-sayang, belas-kasihan, barakah, perlindungan dan kejayaan dunia serta Akhirat. Amin, amin amin.
“Dan semoga Allah mengampunkan kamu saya dan menjadikan saya lebih baik dengan apa yang kamu katakan tentang saya. Amin,” tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu, Nina turut berkongsi pesanan daripada salah seorang gurunya yang memberitahu supaya sentiasa bertawakul kepada Allah SWT untuk apa yang terjadi dalam kehidupan.
“Hidup diteruskan. Seperti apa yang guru saya sebutkan baru-baru ini, kita mesti bertawakkul dan meletak kepercayaan kepada Allah SWT. Walau apa pun yang terjadi dalam hidup, Dia tahu apa yang terbaik serta memberikan yang terbaik kepada kamu.
“Kita hanya perlu melakukan yang terbaik dan tidak tenggelam dalam kedukaan masa lalu atau ketakutan pada masa akan datang sehingga membuat kita untuk tidak aktif dan tidak produktif.
“Hal itu merupakan salah satu ketakutan yang besar buat saya - tidak menggunakan masa yang Allah beri untuk kebaikan dan hilang dalam emosi negatif,” katanya lagi.
Sebelum menutup tulisan, Mizz Nina turut berkongsi sepotong doa buat sesiapa sahaja yang mengalami kesedihan dan kesusahan.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan itu dikhabarkan menemui titik noktah selepas timbul dakwaan mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur.
Sebelum ini, Noh menyangkal dakwaan perkahwinannya bersama Mizz Nina berdepan masalah ketika ditemui media pada 13 Julai lalu.
Sekadar info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Sekitar April lalu, Noh dan Mizz Nina memperkenalkan Musa sebagai anak angkat bagi menyerikan rumah tangga mereka.