Salima AF4 Kesal Ibu Hamil Disuruh Makan Supplement Untuk Baby Putih Melepak
Syafiqah Jalal
10/07/2020
08:36 MYT
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 4 (AF4) , Salima Habibi kesal apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menjual ubat atau makanan tambahan untuk ibu hamil bagi mendapatkan bayi berkulit cerah.
Menurut Salima, fizikal dan rupa bayi yang lahir pasti dipengaruhi oleh keturunannya dan ia sudah ditentukan oleh Allah.
“Nak ceritanya, semua anak ni lahir putih ke gelap ke rambut lurus ke kerinting ke, semua dari Allah yang rancang semua. Dari percampuran benih ibu dan bapa, sangkut lah rupe toknya sikit opah sikit mak sikit bapa sikit. Apa sahaja yang Allah ciptakan itulah yang terbaik.
“Syukurlah kita atas apa jua yang Allah beri, saya kesian kadang-kadang lihat ibu mengandung orang suruh amik suplement itu dan ini supaya anak putih melepak, supaya bulu mata anak lentik la ape lah. Padahal mak bapa atau keturunannya memang dah sedia gelapnya. Kalau anak gelap kenapa? Sapa kata kalau putih je baru cantik?
“Terfikir juga kenapa mereka tak buat testimoni pada orang Nigeria atau Afrika je terus. Untuk anda yang ada kulit warna sawo matang ke gelap ke, jangan bagi org buli kita. Asyik nak suruh orang jadi putih, pelik sungguh la hai…” katanya.
Salima berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut, dia memuat naik foto anak perempuanya, Syarifah Nur Asmaa’ Aljoofree
Apa-apa pun, Salima berkata sebagai umat Islam haruslah bersyukur dengan segala ciptaan Allah dan menjaganya sebaik mungkin.
“Kita semua cantik, sebab yang cipta kita Allah yang maha cantik, tapi Allah dah bagitahu Allah tak hairan dengan rupa paras kita. Allah tengok akhlak kita, amalan kita, tutur kata kita, niat kita, iman kita.
“Bila kita syukur Allah tambah nikmat,” katanya lagi.
Salima berkahwin dengan penceramah bebas Syed Abd. Kadir Syed Hussin Aljoofre sebagai isteri kedua pada 30 November 2013 dan dikurniakan seorang lagi anak, Rayyan.