Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Sam Samin & Aida G. Mohon Kes Saman Fitnah Siti Nordiana Dipindahkan Ke Mahkamah Tinggi

Asraf Aided 03/01/2022 | 07:26 MYT
Sam Musyadzafar (Sam Samin), 43, dan Razidah Ahmad (Aida G.), 42, selaku defendan keempat dan kelima dalam kes saman fitnah yang diambil oleh penyanyi Siti Nordiana yang menuntut RM2.5 juta sebagai pampasan daripada lima orang defendan, memohon supaya kes saman sivil dihadapi mereka dibicarakan di Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili defendan keempat dan kelima tersebut berkata, kes itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana jumlah tuntutan melebihi RM1 juta dan harus dibicarakan di mahkamah yang betul.
“Kes ini tidak sepatutnya difailkan oleh Siti Nordiana di Mahkamah Sesyen kerana jumlah pampasan yang cuba dituntut ialah sebanyak RM2.5 juta iaitu melebihi jumlah bidang kuasa mahkamah,” kata Nurul Hafidzah.
Permohonan yang dibuat oleh Sam Samin dan Aida G. itu dibantah oleh Siti Nordiana di Mahkamah Sesyen namun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tersebut dan kesemua perbicaraan telah diarahkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Nurul Hafidzah menambah yang Mahkamah Tinggi telah menetapkan yang pendengaran permohonan dilakukan pada hari ini, 3 Januari 2022 melalui aplikasi Zoom.
Sekiranya permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi diluluskan, kes saman fitnah tersebut tidak lagi akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen pada 4 Januari ini, seperti yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tersebut walaupun dibantah plaintif.
#Penyanyi #Siti Nordiana #saman #Kuala Lumpur #Kes saman #Mahkamah Tinggi
;