Sambut Baik Blockout 2024, Kaka Azraff Sekat Beberapa Selebriti Antarabangsa Di Media Sosial
Penyanyi, Kaka Azraff menyokong gerakan Blockout 2024 yang dijalankan warganet sejak beberapa minggu lalu.
Kaka sekat selebriti antarabangsa
Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Nor Azraaf, 34, berkata dia turut menyekat selebriti antarabangsa yang terkait dengan jenama-jenama yang diboikot kerana tidak mahu fikiranya diracuni.
"Melihat kepada gerakan 'block out' saya rasa satu langkah bagus tetapi harap tiada yang terkesan dan terasa.
"Saya bukan nak kecam cuma sangat gembira dengan tindakan positif tersebut. Saya sendiri sudah mula sekat artis-artis antarabangsa sebab tak mahu mereka meracuni fikiran saya.
"Rasanya kita sudah terlampau terikut sangat cara barat. Kita kena ada identiti dan pegangan sendiri," katanya ketika ditemui selepas konsert minggu pertama The Hardest Singing Show.
Kaka mengulas mengenai gerakan dari luar negara itu yang berlaku susulan masih ada segelintir selebriti dan pempengaruh yang bertindak menyokong atau mempromosi jenama antarabangsa yang menyokong zionis.
Kaka tak mahu hakimi rakan artis
Apabila disoal mengenai rakan selebriti lain yang masih memilih untuk mempromosikan jenama zionis, Kaka bagaimanapun enggan menghakimi tindakan mereka kerana mungkin masing-masing mempunyai asbab tersendiri.
"Saya tidak boleh menghakimi seseorang. Itu pilihan masing-masing dan saya hormati.Semua ada alasan dan sebab masing-masing.
"Mana tahu mereka buat hanya untuk tolong keluarga sendiri. Allah sahaja yang tahu, kita tak tahu.
"Mungkin apa saya buat ini orang nampak betul tetapi kita tidak tanu, Allah sahaja yang mengetahui," tambahnya.
Terdahulu, susulan majlis Met Gala 2024 yang berlangsung pada hari yang sama Palestin di serang oleh tentera Israel, ramai pengguna media sosial melancarkan gerakan Blockout 2024 dengan memboikot selebriti Hollywood yang tidak menyokong Palestin.
Difahamkan gerakan itu juga turut dilakukan oleh warganet di Malaysia kerana difahamkan mereka kecewa berikutan ramai artis tempatan yang menjadi wajah untuk beberapa jenama terkenal antarabangsa yang diboikot.