Zon Lawak
“Sampai Satu Tahap Saya Blank... Ish! Seramnya” - Zulhuzaimy
Pelakon dan pengarah Zulhuzaimy mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkan situasi yang bakal diberikan ketika beraksi di pentas All Stars Buka Panggung (ASBP).
Bergelar juara untuk minggu ketiga ASBP, dia mahu menguji kredibilitinya sebagai seorang pelakon untuk beraksi tanpa sebarang skrip.
“Saya ambil keputusan tak nak fikir apa-apa. Jangan fikir, kita redah sahaja, enjoy.
“Di sinilah kita nak tahu kemampuan kita sebagai pemain televisyen, pemain filem apabila berlakon tanpa skrip.
“Kedua, saya rasa ini lah masanya untuk penonton-penonton terhibur dengan lakonan yang bukan daripada pelawak,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Zul juga turut berkongsi pengalamannya sewaktu beraksi tanpa skrip.
“Memang saya gementar, sampi satu tahap apabila tiba pada bahagian nyanyian saya jadi ‘blank’ sekejap.
“Ingatkan lama lagi sekali awal pula keluarnya. Layankan sahaja lah. Tapi bila fikir-fikir balik... Ish! Seramnya!” katanya ketawa.
Terdahulu, ASBP minggu ketiga turut menyaksikan persembahan dari Fahrin Ahmad, Sharifah Sakinah dan Sweet Qismina.
Zul bakal berentap dengan Datuk Rosyam (juara minggu kedua) dan Datuk Aaron Aziz (juara minggu pertama) serta juara pada minggu-minggu seterusnya.
Kesemua juara akan berentap di peringkat suku akhir yang akan diadakan pada minggu keenam nanti.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
ASBP akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!