Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Sanggup Beli Tangkal Bomoh Siam Untuk Tarik Perhatian Lelaki

Elrafaei Sapi 02/10/2018 | 10:09 MYT
Pengalaman yang dilalui bekas mak nyah, Harry Zulkifli untuk kembali ke pangkal jalan boleh dijadikan iktibar pada golongan terbabit mahupun sesiapa saja agar tidak menjurus pada perbuatan syirik.
Jejaka berusia 26 tahun ini mendedahkan usahanya untuk berhijrah menjadi seorang lelaki sejati sejak 2 tahun lalu turut dikecam segelintir golongan mak nyah tetapi dia tidak putus asa mahu berubah.
Di peringkat awal, dia mengakui sukar untuk berubah sehingga mendalami ilmu agama bersama jemaah tabligh, ustaz dan berkawan dengan rakan lelaki.
"Saya yang lebih banyak menghantar mesej pada mereka (ustaz) dan bercakap terus terang bahawa saya tidak kuat untuk berubah apatah lagi sudah biasa makan pil hormon sejak berbelas tahun," katanya kepada Astro Gempak.
Jelasnya, pengambilan pil hormon bukan saja memberi kesan pada bentuk fizikal tetapi menganggu emosi.
Dia yang mengambil pil hormon sejak berusia 16 tahun mengakui kehidupan silamnya lebih gemar menghabiskan masa di kelab malam untuk berkawan dengan mak nyah lain.
"Saya berubah menjadi mak nyah selepas habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya kemudian tinggal di Kuala Lumpur dan pada waktu siang saya bekerja seperti biasa manakala pada sebelah malamnya saya ke kelab malam," katanya.
Harry yang berasal dari Kuching, Sarawak memberitahu tidak sukar untuk membeli pil hormon di mana-mana farmasi tanpa preskripsi doktor.
"Ada setengah farmasi meminta nama, alamat dan nombor telefon mungkin untuk rekod. Pil hormon tak macam ubat antibiotik tapi jika tersalah ambil boleh menjadi bahaya sehingga membawa maut," katanya.
BELI TANGKAL DAN MINYAK PENGASIH
Ujarnya, ramai mak nyah ke Thailand untuk mengadakan perjumpaan dengan rakan-rakan mereka di sana termasuk bertujuan menyertai pertandingan ratu cantik mak nyah.
"Saya pernah temankan rakan pergi buat susuk. Malah, saya juga pernah membeli tangkal dan minyak pengasih yang kononnya boleh tarik perhatian orang lain pada saya," katanya.
Harry mengakui dia menyesali perbuatannya yang percayakan pada kuasa tangkal yang boleh menjurus pada amalan syirik.
"Itu silap saya dan sejak berubah, saya pergi mendapatkan rawatan Islam untuk membuang tangkal tersebut.
"Saya sanggup menghabiskan duit kira-kira RM5,000 untuk bertemu bomoh Siam termasuk mandi bunga. Semua benda tersebut pada masa itu, saya rasa ia boleh membantu tapi apabila saya sendiri tahu, tiada apapun kuasa benda itu sebaliknya memakan diri," katanya.
Berkongsi panduan untuk berubah, Harry menyatakan faktor persekitran amat penting untuk mempengaruhi seseorang mak nyah kembali ke pangkal jalan.
"Saya sendiri tidak kuat juga untuk berubah. Ada rakan saya kata nak berubah tapi tak kuat.
"Berubah bukan bermakna terus mengubah penampilan diri seperti potong rambut tapi paling penting cuba jaga solat. Insha Allah lama-kelamaan diri sendiri akan mula berubah," katanya.
Dalam berdepan cabaran hidup mendatang, Harry menyatakan dia terpaksa mengambil keputusan menjauhkan diri daripada segelintir rakan mak nyah yang lain untuk kuatkan diri terus berubah.
"Saya tidak buang kawan. Kadang-kadang saya terpaksa pergi jauh daripada mereka.
"Saya pun masih cuba untuk terus memperbaiki diri dan saya cakap pada rakan, saya nak berubah kerana keluarga.
"Dulu saya malu nak pergi solat Jumaat apatah lagi latar belakang agama saya kurang. Pada masa kecil, saya degil sehingga lari dari mengaji dan kurang bersolat tapi saya masih boleh belajar agama," katanya.
Jelasnya, berubah kepada seorang lelaki asal banyak memberi cabaran padanya.
"Dulu banyak ikut orang jumpa bomoh Siam tetapi apabila nak berubah saya dapat rasa hati berbolak-balik macam ada perasaan takut, tak menentu, nak marah dan tidak boleh bertegur sapa dengan rakan.
"Jadi saya pergi berubat dengan cara Islam. Pada masa itu juga badan saya jadi kurus sehingga berat hanya 40 kilogram berbanding kini 60 kilogram.
"Saya sentiasa pergi mendapatkan rawatan syifa apabila berasakan ada gangguan dalam diri. Dulu saya mempunyai perasaan tidak takut pada hantu.
"Sejak 10 bulan yang lalu, perasaan saya semakin tenang. Saya juga terus berubat secara rukyah kerana perubatan cara ini tidak semestinya untuk orang sakit tapi ia juga boleh memberi kekuatan dalaman seperti membantu fikiran tidak serabut," katanya.
Selain banyak mendekatkan diri dengan ilmu agama, Harry juga menerima pelbagai jemputan untuk memberikan ceramah motivasi kepada orang ramai khususnya pelajar untuk berkongsi kisah pengalaman hijrahnya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @harryzulkifli92
#Mak Nyah #Harry Zulkifli
;