Hiburan
Sarah Yasmine Tetap Sudi Kahwin Aliff Aziz
Barangkali satu-satunya perkara yang ada pada seorang perempuan bernama Sarah Yasmine adalah kekuatan mental.
Menjadi individu yang datang entah dari mana lalu membuat media sosial dan netizen Malaysia gegak gempita, Sarah tidak kisah. Sedikit pun dia tidak peduli.
Sudi
Dibenci, dilabel penyondol, tidak bermaruah, sengaja cari publisiti; tidak ada satu pun kalimat-kalimat negatif tersebut membuat dirinya terkesan.
Dia tetap ingin mendedahkan dan berkongsi sensasi yang sepatutnya tidak perlu dicetuskan, tetapi bagi Sarah, adalah penting untuk dirinya melondehkan satu persatu ‘rahsia gelap’ kepada umum meski ia hampir ‘membogelkan’ hidupnya.
Siapa Sarah Yasmine? Betul ke dia merupakan kekasih gelap pelakon dan penyanyi Aliff Aziz? Apa pula masalah dia dengan pelakon Ruhainies dan Sophia Albarakbah?
Dan bagaimana dia berhadapan dengan isteri Aliff, Bella Astillah yang kini terjerat lewat sandiwara cinta sang suami?
Adakah dia hanya berhalusinasi tentang hubungannya bersama Aliff yang diketahui sudah curang sebanyak 11 kali sepanjang tempoh 10 tahun berkahwin dengan Bella?
Sarah duduk bersama G The Untold Story dan bercerita tentang kekecohan dicetuskan yang masih belum mahu dihentikannya setakat ini.
G The Untold Story: Siapa Sarah Yasmine? Apa yang anda mahukan sebenarnya?
Sarah Yasmine: Saya hanya orang biasa, nama saya Sarah Yasmin. Berusia 24 tahun. Saya ibu tunggal dua orang anak. Saya tak ada sebab untuk rahsiakan fakta ibu kepada dua orang anak tapi tidak berapa suka orang bercakap mengenainya.
Saya ada beberapa adik-beradik tapi saya tidak mahu membabitkan adik-beradik dengan perkara yang sedang saya buat.
Saya hanya tidak suka ditipu dan mahu beritahu jangan hanya beri fokus kepada Alif serta Bella tapi orang patut tahu yang banyak menipu adalah Ruhainies dan Sophia Albarakbah.
Saya juga tahu bila dedahkan semua ini, saya akan dapat kebencian tapi saya hanya mahu tolong Aliff.
#G: Mahu tolong Aliff kerana apa? Empati atau masih cinta?
SY: Penting untuk saya tolong Aliff. Saya jaga dia dan secara peribadi dia perlukan pertolongan dengan keadaan kesihatan mental yang dialami. Saya tidak sampai hati melihat orang mempersalahkan dia seorang diri.
Saya mahu semua pihak mendapat keadilan. Sejujurnya selepas saya dedahkan diri kekasih gelap Aliff kemudian dia pun ada Ruhainies dan Sophia yang memang sentiasa on and off, saya sudah tidak pernah bertemu atau bercakap dengan Aliff.
Dan cakap pasal cinta, memang bukan mudah mahu buang perasaan cinta atau sayang pada seseorang begitu sahaja walaupun sudah berpisah. Tipu kalau saya kata sudah tidak ada.
Kahwin Aliff Aziz
#G: Saya hanya terfikir jika Aliff ajak anda berkahwin selepas ini, anda sudi?
SY: Kalau Aliff berubah, mungkin. Jodoh Allah yang pilih, bukan saya. Saya juga tidak benci orang lama. Saya cuma tidak boleh ditipu banyak kali.
Saya okay kalau dia mahu kahwin dengan siapa pun walaupun bukan saya. Saya tidak mahu paksa dia suka saya atau berkahwin dengan saya.
#G: Sebenarnya berapa lama usia percintaan anda dan Aliff?
SY: Sejak 30 Disember 2023 sehingga hari dia ditangkap khalwat dengan Ruhainies.
Aliff baru tinggal bersama saya waktu itu dan malam dia kena tangkap khalwat dengan Ruhainies, dia patut jumpa saya tapi dia tiba-tiba senyap dan hilang.
Saya automatik rasa ada perkara yang tidak betul. Jadi saya spam telefon dia dan tidur. Apabila bangun saya terkejut sebab keluar berita dia ditangkap khalwat sedangkan waktu itu dia sudah panggil saya kekasih.
Saya marah dan mahu pulangkan barang seperti rantai atau perbelanjaan yang dibuat untuk saya tapi saya tetap dengar penjelasan dia. Dia hubungi saya kerana takut saya tinggalkan dia.
#G: Sebagai perempuan yang rapat dan pernah tinggal bersamanya, anda tahu Aliff suami Bella. Termasuk anda, dia curang dengan 11 wanita. Itu menjadikan Aliff dikatakan mungkin mempunyai ketagihan seks. Apa pendapat anda?
SY: Apa yang saya tahu, perempuan memang ramai gilakan Aliff. Selain fizikal label dia sebagai selebriti buat banyak yang gilakan dia.
Saya kenal dia secara peribadi, saya boleh cakap dia perlukan bantuan. Bantuan profesional yang selama ini dia tidak pernah dapatkan.
Sarah Yasmine & Meerqeen
#G: Apa yang membuatkan anda menyebelahi Aliff? Adakah dia seorang yang baik sewaktu bersama anda?
SY: Aliff ada kekurangan tapi dia orang yang baik sebagai manusia biasa. Mungkin orang kata dia drama ke apa tapi sebagai individu dia orang baik. Dia juga tidak bersikap terlalu bermulut manis dengan saya. Dia kenal saya dan saya kenal dia.
Walaupun saya geram dengan banyak skandal dia, tapi saya kena sedar diri pada akhirnya Aliff itu suami orang.
Saya tetap salah kerana bersama suami orang. Cuma saya beritahu Aliff jika dia mahu bersama Ruhainies atau Sophia, silakan dan tinggalkan saya.
#G: Sekarang ini kenapa pula ada Merqeen dalam cerita ini. Bila anda rasa sandiwara ini akan habis?
SY: Sebab Ruhainies saya tak ada pilihan selain mendedahkan apa yang sebenarnya terjadi selepas dia kena tangkap khalwat dengan Aliff kerana dia manipulatif dan hipokrit.
Aliff tunjuk mesej mereka hari-hari pada saya. Bercakap tentang kes khalwat dan cerai padahal kes cerai dan khalwat mereka itu dua perkara yang berbeza. Pada saya ia tidak perlu dicampurkan.
Sophia kalau dia tidak buat cerita kepada media, beritahu tidak melayan Aliff sedang hakikat saya nampak dia layan, sebab itu saya dedahkan.
Dia boleh tipu orang lain tapi tidak saya, saya akan beritahu.
Meerqeen pula jika dia tidak tipu saya peminat dia, dialah terpaling hensem terpaling nombor satu, saya tidak akan dedahkan juga. Jika saya mahu publisiti saya sudah boleh keluarkan resit (bukti) pada September 2023.
Hubungan saya dengan Meerqeen adalah perkara yang tidak menjadi. Dan sekarang dia panggil saya peminat dia, panggillah. Saya tidak kisah.
Himpit artis
#G: Anda ramai kenal artis. Anda memang suka menyendeng dengan selebriti ke?
SY: Saya memang ada terlibat dengan dunia model dan ramai kawan dalam kalangan selebriti. Cuma saya tidak suka beritahu misalnya saya berkawan dengan Anna Jobling. Mungkin ada yang kata saya berhalusinasi tapi saya tidak peduli. Saya memang berkawan dengan artis.
Kalau saya nak publisiti, saya boleh buat lebih lama. Saya kenal rakan artis daripada rakan-rakan dan akhirnya mempunyai hubungan yang lebih baik.
#G: Dengan semua kekecohan yang anda lakukan, mungkin anda dianggap sebagai perempuan psiko?
SY: Kalau mahu dedahkan bukti orang cakap saya psiko, saya terima. Sarah psikolah. Kalau nak tipu, agak-agak. Jangan main dengan kesihatan mental seseorang.
#G: Jadi apa yang anda rasa sekarang dengan semua kekecohan yang tercetus. Perspektif khalayak terhadap anda sudah bercambah. Apa yang anda rasa? Seronok? Puas?
SY: Seronok, puas tidak. Saya buat ini saya tahu ia telah menimbulkan kesan kepada banyak orang.
Semua kekecohan yang terjadi akan kekal di internet. Saya ambil tanggungjawab ini tapi kalau ini yang perlu saya buat, saya buat. Saya tidak boleh kena tipu. Kalau nak jatuhkan orang, pastikan diri suci.
#G: Apa yang anda mahu sebenarnya?
SY: Saya tidak cari duit dengan cara begini. Saya ada duit dan kehidupan sendiri. Macam saya cakap fokus saya hanya mahu tolong Aliff.
Kalau ada orang keluarkan lagi (tipu), hal ini akan terus panjang lagi kerana saya masih menyimpan banyak bukti yang lain. Jujur, ada banyak lagi yang saya tahu tapi Bella tidak tahu bukan sekadar Ruhainies dan Sophia saja. Cuma sekarang ini jujur saya hanya mahu pulang kepada anak-anak saya.