Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Satu Malam, Satu Pentas! Konsert Kolabraci Gabungkan Rockers Tiga Negara... Tiket Serendah RM75 Jer

Shahrin Zulkifle 29/10/2022 | 04:00 MYT
Sebuah konsert anjuran Aci Gold iaitu Konsert Kolaboraci - Three To Rock bakal berlangsung di SMESCO Convention Hall, Jakarta, Indonesia pada 25 November 2022 depan.

Konsert yang dijadualkan bermula seawal tujuh malam itu menggabungkan rockers hebat daripada tiga buah negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura yang akan berkongsi di atas satu pentas yang sama pada malam itu.

Sumbangan Penganjur

Selaku penganjur, Aci Gold mahu aktif menyumbangkan sesuatu kepada industri muzik Indonesia selain menjadikan konsert berkenaan sebagai salah satu destinasi hiburan yang dinantikan penonton.

“Kami mahu menjadikan Konsert Kolaboraci ini sebagai pentas buat pemuzik dan band serta menjadi destinasi hiburan muzik yang dinantikan masyarakat Indonesia.

“Pandemik Covid-19 sudah beransur pulih. Namun dalam masa sama, kita masih perlu berjaga-jaga dan mematuhi protokol kesihatan. Bagaimanapun, industri muzik dan hiburan tetap perlu diadakan.

“Muzik tidak hanya hidup untuk penggiat seni saja, tetapi muzik adalah kehidupan bagi manusia. Muzik adalah cara kita melepas rindu,” katanya.

Barisan Rocker Tiga Buah Negara

Pada konsert berkenaan, Indonesia bakal menampilkan band rock popular dan berpengalaman mereka iaitu BIP yang dianggotai Pay Burman (gitar), Bongky Marcel (bass), Indra Q (keyboard) dan Ipank Lazuardi (penyanyi).

BIP boleh diiktiraf sebagai antara band rock legenda Indonesia kerana Pay, Bongky dan Indra adalah bekas anggota band rock nombor satu Indonesia iaitu Slank. BIP juga telah menghasilkan lima album dengan Slank bersama Kaka (penyanyi) dan BimBim (dram) sebelum berundur pada 1996 dan menubuhkan BIP.

Sementara itu, Rockers Malaysia pula dibarisi pemain gitar legenda, Man Kidal (Search / Lefthanded), Lola (dram - XPDC) dan Cliff Umar (penyanyi - Project Pistol), manakala Singapura menampilkan Yazid (penyanyi, bass - Lovehunters).

Menurut Aci Gold lagi, dalam usaha membina satu komuniti di Asia Tenggara, mereka juga bekerjasama dengan koperasi tempatan, MyUBI yang mempunyai 3,000 ahli akan menjayakan Konsert Kolaboraci di Malaysia.

Kedua-dua entiti ini bekerjasama dalam pelbagai bidang perniagaan di Timur Tengah yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Ahli BIP Teruja

Sementara itu, pemain bass BIP, Bongky berkata, BIP sangat teruja dapat mengadakan persembahan di konsert ini selepas sekian lama tidak terbabit dengan sebarang konsert.

“Sudah lama kami tidak membuat persembahan. Saya pun sudah lupa. Rasanya sudah tiga tahun kami tidak membuat persembahan,” katanya.

Tiket

Tiket pra-jualan berharga RM303 (VIP), RM152 (Tribune) dan RM75 (Festival) boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.kolaboraci.online.

Tidak ketinggalan, peminat di luar Jakarta khususnya dari Malaysia dan Singapura juga boleh menonton konsert ini secara dalam talian atau streaming pada hari yang sama. Untuk tontonan streaming, tiket berharga RM15 juga boleh dibeli di laman web www.kolaboraci.online .

#Konsert #Indonesia #Malaysia #Singapura #Rockers #Konsert Kolabraci
;