Hiburan
"Say Hello To Idris" - 14 Tahun Berkahwin, Sazzy Falak Ambil Anak Angkat Lelaki
Pelakon dan pengacara Sazzy Falak mendedahkan telah mengambil seorang anak angkat lelaki yang diberi nama Idris.
Keputusan itu diambil selepas beberapa bulan berbincang dengan suami, Nazril Idrus dan dua anak perempuannya, Imaan Lily dan Tiara Rose.
"Memperkenalkan ahli baharu dalam keluarga. Sekitar sebulan lalu kami membuat keputusan bersama dalam keluarga untuk mengambil anak angkat.
"Semestinya kedua-dua anak perempuan kami tidak membantah dan bersedia menerima adik mereka dalam keluarga.
"Tetapi saya dan suami sudah semestinya beberapa kali berbincang dan mempertimbangkan banyak perkara.
"Apa yang boleh saya katakan ia bukan keputusan yang mudah dan cepat untuk kami. Banyak hal yang bermain dalam kepala dan emosi saya sama ada mampukah saya menjadi seorang ibu yang baik untuk bayi ini.
"Namun, takdir menentukan segalanya. Bayi lelaki ini datang kepada kami dan Allah telah memberikan petunjuk kepada kami," kongsi Sazzy menerusi Instagramnya.
Sazzy mengumumkan bayi lelaki itu diberikan nama Idris dan memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan keluarga baharu mereka.
"Ucapkan hello kepada Idris. Jika boleh, utuskan doa untuk kami sekeluarga.
"Sekarang saya sudah memperkenalkan Idris kepada semua dan akan mengemaskini perkembangan kami dari semasa ke semasa," tambahnya.
Sazzy dan Nazril telah mendirikan rumah tangga pada 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata kembar Iman Lily dan Tiara Rose yang berusia 9 tahun.
Saksikan karya lakonan Sazzy Falak yang pernah ditayangkan di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!