Laman Utama
"Saya Bedal Lemang, Rendang" - Dayana Roza Selamat Bersalin Bayi Pramatang Ketika...
Pelakon Dayana Roza selamat melahirkan anak sulung yang diberi nama Astrid Raheeya secara pramatang atau tidak cukup bulan pada 20 Julai lalu yang juga ketika sambutan Aidiladha.
Menurut Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, dia sepatutnya melahirkan anaknya pada September depan.
Apapun, isteri kepada A'dale Adham Ayahudin itu bersyukur kerana keadaan dirinya dan anak baik-baik sahaja.
"Syukur Alhamdulillah keadaan serta kesihatan saya dan anak baik-baik sahaja. Anak sulung saya dilahirkan dengan berat 2.4 kilogram pukul 11 malam di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
"Setakat ini, keadaan semuanya terkawal. Perihal lahir tak cukup bulan ini sebenarnya sudah jadi perkara biasa dalam keluarga saya.
"Saya sendiri lahir tak cukup bulan. Begitu juga adik saya yang mengalami situasi sama, jadi saya rasa tak pelik dengan perkara ini. Apapun, saya bersyukur tiada apa-apa komplikasi berlaku pada anak saya," katanya.
Agak melucukan, Dayana akui menikmati sambutan raya pada siang sebelum melahirkan anaknya dengan menikmati pelbagai juadah.
"Waktu siang itu, saya bedal macam macam makanan seperti lemang, rendang dan sebagainya. Pada sebelah petang sebelum dimasukkan ke hospital, saya ada mengalami pendarahan, tapi keadaannya tidak teruk.
"Kemudian pada malamnya, saya selamat melahirkan anak. Takut juga sebab saya lahir tak cukup bulan bimbang apa apa terjadi. Tapi semua baik baik saja. Seminggu juga saya bermalam di hospital," katanya lagi.
Dalam pada itu, Dayana sempat berkongsi cerita mengalami emosi tidak stabil ketika hamil.
"Nasib baik emosi itu tak terbawa bawa lepas saya bersalin. Ketika berbadan dua, saya akui agak stres. Saya pun tak pasti sama ada ia ada kaitan dengan situasi semasa COVID-19 atau perkara lain.
"Ketika itu juga, saya mula fikir yang bukan bukan, sekarang saya mahu berehat betul betul dan menumpukan perhatian penuh pada anak. Harap suami tak cemburu pula," selorohnya.
Mengulas tentang pemilihan nama anak, Dayana berkata ia adalah keputusan yang dibuat bersama suami.
"Kalau dicari maksud Astrid di internet, ia bermaksud keindahan dan kekuatan, Raheeya pula diambil daripada nama arwah ibu mentua saya.
"Cumanya, ejaan asal nama arwah dieja 'Rahiya'. Tapi saya ubah ejaannya jadi 'Raheeya' yang membawa maksud seperti setia serta penyayang," katanya menutup bicara.
Malam tadi, Dayana turut memperkenalkan Astrid Raheeya kepada umum menerusi akaun Instagram miliknya.
Terdahulu, Dayana dan A'dale mendirikan rumah tangga pada pada 25 Disember 2020.