Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

"Saya Berdepan Cabaran Besar Hidupkan Watak Tun Siti Hasmah" - Fauziah Latiff

Kamaruddin Razal 06/02/2020 | 12:58 MYT
Penyanyi dan pelakon Fauziah Latiff mengakui dia berdepan dengan cabaran besar untuk merealisasikan watak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam filem Mahathir: The Journey.
Menerusi filem pertama lakonannya itu, Fauziah yang lebih mesra disapa dengan nama Jee akui tidak boleh meniru 100 peratus karakter tokoh wanita hebat itu.
"Sudah pastinya saya teruja diberikan peluang untuk menjayakan watak tokoh wanita hebat seperti Tun Siti.
"Lebih-lebih lagi, ini filem pertama saya sepanjang bergelar anak seni. Saya cuba membawakan watak ini dengan sehabis baik biarpun saya sedar saya berdepan dengan cabaran besar kerana karakter ini berat dan mencabar.
"Secara jujurnya, saya memang tak boleh meniru secara 100 peratus karakter Tun Siti, lebih-lebih lagi intonasi suara dan lontaran vokal.
"Apa yang boleh saya lakonkan ialah perwatakan dan kelembutan yang dimiliki oleh wanita hebat itu. Semua orang tahu mengenai kelembutan yang ada pada diri beliau dan menjadi satu cabaran untuk saya menjayakannya," kata Jee.
Jee ditemui usai menjalani babak penting di set penggambaran filem Mahathir: The Journey yang berlangsung di Hotel Sheraton Petaling Jaya baru-baru ini.
Hotel berkenaan menjadi lokasi bersejarah apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan mengadakan sedia media pada malam pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 10 Mei 2018.
Jee juga mengambil inisiatif selama beberapa bulan untuk membuat kajian mengenai Tun Siti.
"Saya berusaha selama lebih kurang tiga bulan dalam membuat kajian mengenai Tun Siti. Saya membuat kajian menerusi buku, akhbar, video-video yang boleh ditonton di YouTube dan laman sosial lain.
"Saya sering membayangkan kelembutan Tun Siti apabila dia bercakap dengan orang lain. Saya selalu berlatih untuk mendapatkan 'mimik muka' sebegitu dan berharap hasilnya akan membuahkan sesuatu yang positif," kata Jee lagi.
Selain Jee, filem terbitan Reliance Media Group Sdn Bhd itu diterajui pelakon berpengalaman, Azhar Amir sebagai Tun Mahathir.
Filem yang menelan belanja RM6 juta itu turut dibintangi Hilal Azman sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Muhamad Harminder Singh (Gobind Singh Deo).
Filem Mahathir: The Journey mendapat sentuhan pengarah berbakat Profesor Dr Hatta Azad Khan.
#Tun Siti Hasmah #Fauziah Latiff
;