Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Saya Botakkan Kepalanya” - Nizam Laksamana Kongsi Pengalaman Sedih Lihat Isteri Derita Kanser

Izwan Isa 22/06/2022 | 23:57 MYT

Penyanyi senior, Nizam Laksamana mengakui fasa paling menyedihkan dalam hidupnya adalah ketika terpaksa melihat isteri tercinta, Salwati Zulkifli ‘berperang’ dengan sakit kanser payudara.

Nizam berkata, banyak hal melibatkan emosi yang harus ditempuhi ketika fasa itu. Namun, dia berasa bersyukur kerana isterinya kini sudah kembali pulih dan dapat menjalani kehidupan sama seperti individu normal lain.
“Isteri saya pernah menghidap kanser payudara dan penyakit itu berlanjutan sekitar setahun lebih. Namun alhamdulillah, kanser dia dah hilang.
“Dia wanita yang hebat. Dia tahan sakit dan melalui proses kemoterapi sebanyak enam kali. Bukan semua orang boleh menahan sakit ketika proses berkenaan. Tanyalah Elyana.
“Bila sampai rawatan keempat dan seterusnya, rambut mula gugur. Atas permintaan isteri, saya botakkan kepalanya. Saya juga turut botakkan kepala tanda memberi sokongan,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Nizam berkata, ujian yang diterima oleh isteri telah menerbitkan rasa kesabaran yang tinggi dalam dirinya.
“Jujurnya, saya bukanlah jenis orang yang sabar. Tapi saya berdoa pada Allah agar diberikan kekuatan untuk terus menjaga isteri ketika dia memerlukan saya.
“Apabila berada dalam kesakitan, emosinya terganggu. Jadi saya kena banyak sabar. Saya jaga keperluan hariannya seperti menyuapkan makanan dan menukarkan baju. Saya pastikan saya sentiasa berada di sisinya.
“Ada juga rakan wartawan yang nak bantu saya dan isteri dengan mengadakan tabung kutipan. Tetapi saya menolak. Saya kata doakan sahaja. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dan isteri saya kini sudah kembali sihat sepenuhnya,” katanya lagi.
Tahun lalu, media pernah melaporkan Salwati terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masalah kemurungan, ketika sedang menjalani rawatan bagi memulihkan dirinya daripada kanser payudara.

#Kanser Payudara #Nizam Laksamana
;