Laman Utama
“Saya Bukan ‘Hamba’…”- Britney Spears Sekali Lagi Mohon Singkir Bapa Sebagai Penjaga
Ratu pop dunia, Britney Spears akui tertekan dan memohon untuk menyingkirkan bapanya, Jamie Spears, sebagai ‘penjaga’ (conservator), di Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat pada Rabu.
"Saya hanya mahukan kehidupan saya kembali seperti biasa… Saya bukan ‘hamba’ kepada sesiapa. Saya alami tekanan, tidak boleh tidur dan saya tidak gembira dengan kehidupan ini," luahnya.
Bapa Britney, Jamie Spears sebelum ini mula memikul peranan tersebut selepas menerima arahan mahkamah pada 2008 susulan Britney didakwa mengalami masalah kesihatan mental.
Hak itu sudah berlarutan selama 13 tahun dan nyata ibu kepada dua anak ini tidak mahu hal berkenaan terus menjejaskan kehidupannya.
Dengan ‘hak’ yang diberi kepada bapanya, Jamie bertanggungjawab menguruskan segala urusan berkaitan perubatan, kewangan dan semua urusan peribadi bintang itu.
Tahun lalu, Britney gagal dalam cubaannya untuk ‘menyingkirkan’ bapanya daripada mengawal kehidupan dan hal-hal peribadinya selepas Mahkamah Los Angeles memutuskan perkara itu akan terus berkuat kuasa sehingga tahun ini.
Penyanyi lagu Opps! I Did It Again ini turut membuat permohonan untuk membolehkan pengurusnya, Jodi Montgomery, memainkan peranan tersebut.
Terbaharu, di hadapan hakim di mahkamah sama, Britney tampil sekali lagi menyifatkan ‘penjagaan’ ini sebagai satu penderaan terhadap dirinya.
"Kepada mereka semua yang terlibat dalam perkara ini termasuk bapa dan pengurusan saya, mereka seharusnya dipenjarakan," ujarnya.
Akui Britney, di bawah ‘penjagaan’ tersebut juga, dia terpaksa membelanjakan hampir RM250,000 (AS$60,000) sebulan bagi mendapatkan rawatan mental selepas membatalkan persembahannya di Las Vegas pada 2019.
Selain itu, Britney berkata, dia merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya, Sam Asghari, dan memiliki anak namun mereka (bapa dan pengurusan) memasang alat pencegahan kehamilan (contraceptive device) terhadapnya dan menghalangnya untuk mengandung lagi.
Menerusi perkahwinan terdahulu dengan Kevin Federline, Britney hanya memperoleh 30 peratus hak penjagaan selepas Federline diberikan hak penjagaan tunggal untuk menjaga kedua-dua anak mereka.
Antara perkara lain di bawah hak penjagaan itu, Jamie juga bertindak ‘melarang’ Britney untuk melakukan rawatan kecantikan diri melibatkan kuku, rambut dan urutan akupuntur.
‘"Dia (Jamie) dengan arahan yang diberikan ini dan kawalan yang dilakukan ke atas saya.
"Apa yang saya lalui merupakan satu situasi yang memalukan dan tidak bermoral, saya rasa dibuli," tambahnya.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan daripada Jamie yang dibaca oleh peguamnya di mahkamah, dia berkata hanya mahu membantu anak perempuannya itu.
“Saya berasa sedih melihat dia menjalani kehidupan dalam penderitaan dan kekecewaan, Jamie sangat menyayangi Britney," kata peguamnya.
Britney merupakan bintang pop yang dilahirkan pada 2 Disember 1981 mula mencipta nama sebagai penyanyi dan penghibur terkemuka selepas singlenya, Baby One More Time, dikeluarkan pada 23 Oktober 1998.