Laman Utama

“Saya Bukan Mangsa Fesyen” - Aina Abdul Mahu Tonjol Alter Ego, Dedah Maksud Tersirat Baju ‘Toto’ Viral

Mya Amri
01/06/2023
08:01 MYT
Sponsor Banner
“Saya Bukan Mangsa Fesyen” - Aina Abdul Mahu Tonjol Alter Ego, Dedah Maksud Tersirat Baju ‘Toto’ Viral
Penyanyi Aina Abdul menegaskan bahawa dia bukanlah mangsa fesyen seperti yang didakwa netizen.
Menurut Aina, setiap busana yang digayakan olehnya pasti mempunyai maksud tersirat selain mengikuti tema Big Stage 5 secara kreatif.
“Kalau saya dapat menyanyi mungkin tidaklah begitu baju saya. Tetapi saya duduk dan bila mahu berikan komen saya perlu ada benda yang boleh memberikan keyakinan kepada diri saya.
“Sebab baju-baju ini bukan sekadar untuk viral atai trending tetapi ia adalah alter ego. Saya mendengar komen-komen netizen jadi untuk minggu ini tunggulah.
“Saya cuba menyampaikan satu mesej sebenarnya menerusi baju itu. Bukan hanya sekadar toto atau saja-saja nak pakai begitu.
“Baju itu mempunyai gambaran atau simbolik, kerana tema Big Stage 5 pada minggu itu adalah hari galau. Jadi bagi saya dan juga Adi, katil atau pun tilam adalah tempat kita luahkan segala rasa sedih.
“Jadi itulah simboliknya dan juga sebab saya membawa tema pakaian itu pada hari berkenaan. Tetapi lain yang kita nak ketengahkan lain pula jadinya,” jelasnya ketika ditemui Gempak selepas sidang media pelancaran lagu Ali Nabawi bertempat di Hotel Grand Millennium, Kuala Lumpur pada Rabu.
Aina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai busana digayakan di konsert keempat Big Stage 5 yang dikatakan menyerupai toto pada Ahad lalu.
Jelas Aina lagi, dia sangat menghargai bakat dan juga kebolehan setiap pereka fesyen dalam memberikan kelainan terhadap penampilannya.
“Saya bukan mangsa fesyen kerana setakat ini pereka fesyen yang bekerjasama dengan saya semuanya okay.
“Saya hargai bakat serta kebolehan mereka dan mereka juga perlukan medium untuk memperagakan baju yang dihasilkan. Saya juga memerlukan satu kelainan dari segi penampilan.
“Sebagai contoh baju di Big Stage pada minggu lalu direka oleh Adi, saya boleh katakan mempunyai elemen yang fresh. Walaupun masih baru lagi dalam industri ini tetapi dia sangat berbakat.
“Bagi sesetengah orang, mungkin ada yang merasakan imej dan penampilan saya ini provokasi.
“Tetapi bagi orang yang berada dalam industri dan juga rakan-rakan, dia lebih memahami. Jadi tidak ada timbul rasa provokasi,” ujarnya.
BACA: #BIGSTAGE5: “Duduk Belakang Aina Ke, Ajai Ke, Korang Still Terhalang” - Pereka Baju Aina Abdul Tampil Beri Penjelasan
BACA: #BIGSTAGE5: Baju Yang Digayakan Aina Abdul Ganggu Pandangan Penonton? Ini Jawapan Pihak Produksi: “Tak Pernah Terima Sebarang Aduan…”
Terdahulu, imej dan penampilan Aina yang juga merupakan juri tetap Big Stage 5 mendapat kecaman netizen.
Mereka mengatakan penampilan digayakan Aina tidak bersesuaian dengan statusnya sebagai juri selain mendakwa busana dipakainya menghalang pandangan penonton yang hadir ke auditorium.
Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.
Selain Aina, Big Stage 5 juga turut menampilkan Ajai sebagai juri tetap dan dibantu juri jemputan setiap minggu.
Bintang yang masih bersaing dalam Big Stage 5 adalah Firdaus Rahmat, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.
Bintang luar negara pula ialah Farhan Shah (Singapura), HoonDoo (Korea) dan Waode (Indonesia).
Manakala bintang pertama yang tersingkir adalah Isaac Voo, Naufal Azrin dan Meer Nash.
Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar