Hiburan
"Saya Cuba Sebaik Mungkin Untuk Tenangkan Dia..." - Neelofa Sebak Bila Fatimah Minta Pada Allah Kembalikan Adamdidam Hanya Untuk 1 Minit
Pelakon dan pengacara jelita, Neelofa mengakui terkesan dengan kesedihan si kecil Fatimah Omar Mukhlis selepas cef selebriti, Allahyarham Adam Mahamed Ismail (Adamdidam) meninggal dunia.
Kata Neelofa, dia sendiri sukar untuk menerima berita tersebut.
"Sebagai orang dewasa pun kita susah nak terima berita pemergiaan seseorang, apatah lagi anak kecil yang tak tahu apa-apa.
"Saya sendiri terkesan dengan kesedihan Fatimah sebab dia sangat rapat dengan arwah. Apa yang boleh saya katakan, baik Fatimah mahupun kami sekeluarga, kita masih mengenangkan pemergian arwah Adam dan berharap agar rohnya tenang di sana," kata Neelofa kepada Gempak.
Mengimbas kembali perbualan antara Fatimah dengan dirinya sewaktu berada di Tanah Suci Makkah minggu lalu, hos program MeleTOP ini mencuba sebaik mungkin untuk menenangkan anak kecil itu.
"Baru-baru ni, Fatimah susah nak memberikan fokus di sekolah, sampai dia minta ibunya untuk menghubungi saya yang pada ketika itu berada di Makkah supaya saya minta pada Allah kembalikan Mamajee dia hanya untuk satu minit sahaja.
"Ketika itu, saya terus sebak... Saya sendiri tak tahu nak cakap apa pada dia. Paling menyentuh hati, bila saya dan Fatimah sedang berbual menerusi panggilan video, Fatimah minta saya doakan kepada Allah agar memberikan rumah dengan dapur dekat Mamajee dia.
"Allahuakhbar, masa tu, saya dah tak tahu nak memberikan reaksi apa sebab her request was so pure! Tapi saya cuba sebaik mungkin untuk tenangkan Fatimah.
"Saya cuba sampaikan doa Fatimah di depan Kaabah dan saya berharap bantual kecil terbabit dapat sedikit sebanyak menenangkan hati anak kecil itu," katanya lagi.
Terdahulu, laman Instagram @thefamily.uk memuat naik paparan skrin perbualan antara Neelofa dan ibu Fatimah, Nor Ashila Mahamed Ismail mengenai kesedihan yang Fatimah alami selepas pemergian Adamdidam yang meninggal dunia pada 19 Mei lalu.