Laman Utama
"Saya Dah Malas Nak Fikir Fasal Make Up Bila Keluar" - Lisa Surihani
Umum mengetahui tentang penghijrahan pelakon Datin Lisa Surihani yang kini tampil menutup aurat sepenuhnya.
Malah penampilan terkininya sering mendapat pujian daripada wargamaya dan tidak kurang juga yang suka melihat wajah Lisa yang lebih natural tanpa sebarang make up yang dikenakan.
Menurut Lisa, 36, dia akui sudah tidak kisah lagi mengenai penggunaan peralatan make up, malah dia berasa sudah malas untuk menata rias wajahnya ketika keluar ke mana-mana.
“Saya sebenarnya dah malas nak fikir sangat pasal make up apabila pergi keluar, kadang rasa tak suka pun nak pakai.
“Kalau ada komen netizen yang kata lebih suka saya tanpa make up, saya tidak berapa nak pasti berkenaan itu.
“Saya sendiri tidak fikir terlalu terperinci berkenaan isu mengunakan atau tidak menggunakan make up semua ini,” katanya.
Lisa ditemui ketika sesi pelancaran musim terbaharu program Next To Neelofa yang bertempat di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Lisa yang juga merupakan salah seorang tetamu jemputan dalam program yang dihoskan oleh usahawan popular, Neelofa itu turut berkongsi mengenai cara melatih dirinya untuk terus beristiqomah.
“Alhamdulillah jalan untuk saya dibuka dengan mudah, walaupun sibuk uruskan anak-anak, tetapi ada sahaja waktu untuk saya melakukan beberapa aktiviti ibadah seperti mengaji dan memasuki kelas agama.
“Apabila bercerita mengenai Istiqomah,itu bukan perkara mudah, hati kita sentiasa berbolak balik namun perlu juga sentiasa mendoakan antara satu sama lain.
“Insyallah dengan berdoa pada Allah, segala urusan kita dipemudahkan.
“Untuk saya kalau nak terus istiqomah, kena ada minat dan disiplin, tanpa kedua-dua perkara itu agak sukar untuk seseorang terus beristiqomah mencari reda Allah,” tambahnya.
Next To Neelofa musim terbaharu bakal bersiaran bermula 22 Oktober 2022 pada setiap hari Sabtu pada jam 10 malam di saluran Astro RIA. Untuk pilihan lebih fleksibel, strim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
Selain Lisa, antara tetamu undangan lain yang turut membuat penampilan menerusi musim kedua Next To Neelofa termasuklah Diana Amir, Puteri Sarah, Tya Arrifin, Ustazah Oki Setiana Dewi dan ibu Neelofa sendiri, Datin Noor Kartini.