Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Saya Dipecat Oleh Parti Yang Saya Sayang, Unbowed, Unbent, Unbroken” - KJ

Mya Amri 28/01/2023 | 00:25 MYT

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberikan komen selepas pemecatan keahliaan UMNO beliau diumumkan pada Jumaat.

Khairy atau lebih mesra dengan panggilan KJ meluahkan perasaannya menerusi ciapan terbaharu di akaun Twitter miliknya.

“Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Unbowed, unbent, unbroken,” tulisnya.

Bagaimanapun netizen membalas ciapan itu dengan memberikan kata-kata semangat dan positif kepada bekas menteri kesayangan ramai ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO.

Turut dipecat ialah bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Noh sebelum itu digantung keahliannya selama enam tahun namun beliau telah meminta untuk dirinya dipecat.

Pengumuman pemecatan tersebut dibuat secara rasmi selepas Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, malam tadi.

Tindakan pemecatan terhadap dua pemimpin itu dibuat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, UMNO turut mengantung keahlian selama enam tahun iaitu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan turut digantung keahlian UMNO mereka.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

#Khairy Jamaluddin #KJ #UMNO #Dipecat
;