Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

"Saya Gambarkan Wan Azizah" - Siti Nurhaliza Teruja Nyanyi Lagu OST Filem Anwar The Untold Story!

Amri Hassan 04/04/2023 | 12:55 MYT

Impian penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto tercapai menerusi lagu Menjaga Cintamu yang juga lagu runut bunyi (OST) filem Anwar, The Untold Story.

Menurut Siti, dia juga sudah lama mahu bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan komposer hebat dari seberang itu.
“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan Andi dan peluang yang diberikan ini sangat bermakna.
“Saya berterima kasih kepada Penerbit Eksekutif, Zukiflee Anwar Haque atau Zunar dan pengarah dari Indonesia, Viva Westi kerana memberikan kepercayaan kepada saya menyanyikan lagu Menjaga Cintamu.
“Saya adalah penyanyi dan tugasan saya adalah menyanyi. Pada masa sama, saya juga mempunyai ramai peminat di Indonesia.
“Saya jarang menolak untuk menyampaikan lagu-lagu OST sebelum ini. Apabila pihak penerbit filem ini datang bertemu dengan pengurusan saya, mereka menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini.
“Saya juga mendapat penerangan mengenai filem Anwar, The Untold Story. Proses perbincangan juga berjalan dengan lancar,” katanya.
Filem Anwar, The Untold Story adalah sentuhan pengarah dari Indonesia, Viva Westi dan terbitan Bianglala Entertainment. Lagu berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

Gambarkan Wan Azizah

Mengenai lagu Menjaga Cintamu, kata Siti, walaupun dia menyanyikan lagu OST filem Anwar tetapi lagu itu menggambarkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan secara amnya untuk wanita yang setia dalam mencintai pasangan mereka.

“Saya terima tawaran untuk menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini serta tertarik dengan mesej kesetiaan wanita itu.
“Saya juga memahami lagu dan lirik Menjaga Cintamu ini menceritakan mengenai kesetiaan dan pengorbanan seorang wanita. Kebetulan juga saya memang dalam fasa menerbitkan album terbaharu,” katanya.

Suara terjejas sebab COVID-19

Berkongsi pengalaman di studio, kata Siti, proses rakaman lagu Menjaga Cintamu berlangsung selama sejam dan Andi sendiri yang menjaga vokal dan menerbitkannya.

“Ia satu pengalaman baru dan saya akui gementar kerana pertama kali bekerja dengan Andi dan menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat sepertinya.
“Saya juga berdepan dengan cabaran untuk menyampaikan lagu Menjaga Cintamu di studio kerana suara saya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang virus COVID-19. Saya sudah berusaha sebaiknya untuk menyampaikan lagu itu dengan baik.
“Proses rakaman di buat di Malaysia iaitu di Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito,” katanya.

Andi beri tunjuk ajar Siti

Ditanya perbezaan bekerjasama dengan komposer Indonesia seperti Andi, kata Siti, setiap kali masuk studio, ia adalah pengalaman dan guru berharga baginya.

“Saya bersyukur kerana sering menyanyikan lagu-lagu dari komposer Indonesia dan sedikit sebanyak, saya sudah memahami cara mereka bekerja. Apabila menyampaikan lagu, mereka memberi tunjuk ajar dan pastinya mahu yang terbaik daripada penyanyi, begitu juga dengan Andi.
“Saya juga merakamkan lagu ini selama sejam dan Andi juga terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selama dua jam atau lebih. Namun, lagu Menjaga Cintamu memang senang masuk ke dalam hati dan dapat saya nyanyikan dalam tempoh tidak begitu lama,” katanya.
Filem Anwar, The Untold Story yang mengangkat kisah ranjau politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjengah pawagam seluruh tanah air pada Mei nanti.
Filem yang membabitkan kos sebanyak RM10 juta ini menampilkan barisan pelakon terkenal dari Malaysia dan Indonesia seperti Farid Kamil, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

#Siti Nurhaliza #Indonesia #Anwar Ibrahim #Wan Azizah Wan Ismail #Anwar The Untold Story #Andi Rianto #Menjaga Cintamu
;