Berita
Saya Gembira Dengan Lakonan Aaron Aziz – Penulis Novel Kau Yang Satu
Penulis novel Kau Yang Satu, Nia Azalea akui gembira dengan lakonan aktor Aaron Aziz dalam filem yang telah diadaptasi daripada karyanya itu.
“Apabila pihak produksi memaklumkan yang mereka akan memberikan watak Taufik kepada Aaron Aziz, saya tidak membantah. Bagi saya, pasti ada sebab tersendiri mengapa Aaron dipilih untuk menjayakan karakter Taufik.
“Sudah tentu pihak produksi lebih arif untuk menilai kerana mereka lebih tahu selok belok dunia perfileman. Selepas melihat hasil filem ini, saya rasa sangat berpuas hati dengan lakonan Aaron. Dia memberikan lakonan yang baik dan menepati ekspektasi saya,” kata Nia kepada Astro Gempak.
Tidak sabar menantikan reaksi penonton, Nia berharap agar pembaca setia novel Kau Yang Satu menonton filem ini di pawagam.
“Pembaca setia novel ini sudah laman menantikan filem ini untuk divisualkan di layar perak. Sudah pastinya saya tidak sabar untuk menantikan reaksi penonton serta pembaca setia novel Kau Yang Satu.
“Saya berpuas hati dengan hasil adaptasi novel saya dan saya berharap pembaca setia juga dapat menerima bingkisan ini dalam bentuk filem pula,” katanya lagi.
Jangan lupa untuk menyaksikan filem ‘Kau Yang Satu’ lakonan Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci. Filem adaptasi novel karya Nia Azalea juga turut menampilkan Amyra Rosli Wan Hanafi Su, Zaidi Omar dan Rosnah Johari dan ramai lagi.
Filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Julai ini.
Teks oleh: Kamaruddin Razal