Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

"Saya Gembira Nak Jumpa Anak- Anak Tak Lama Lagi" - Farid Kamil Tenang Tiba Di Mahkamah

Syafiqah Jalal 11/04/2023 | 04:31 MYT

Pelakon Farid Kamil tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi proses sulh hari ini.

Prosiding ini adalah proses perbincangan untuk mencapai kata sepakat antara kedua belah pihak.
Farid Kamil atau nama sebenar Farid Kamil Zahari, 42, tampil mengenakan baju biru laut pada jam 11.42 pagi sambil ditemani pengurusnya, Azhari Hamid.
"Hari ini saya datang untuk sulh. Sekejap lagi selepas proses sulh saya akan buat pc (sidang media).
"Perasaan saya sangat bersyukur dan gembira kerana akan berjumpa dengan anak-anak saya tidak lama lagi. Selamat hari raya," katanya sambil berjalan masuk ke mahkamah.
Farid sudah lebih sebulan tidak berjumpa dengan anak bongsunya Aurora dan kali terakhir dua minggu lalu hanya berpeluang berjumpa dengan anak sulung, Muhammad.
Petugas media tidak dibenarkan mengikuti prosiding dan hanya dibenarkan berada di ruangan menunggu di luar dewan mahkamah.
Terdahulu, Gempak sebelum ini melaporkan pasangan pelakon itu dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk berdamai sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana.
Pelakon Imaginur itu memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada 10 Mac lalu dengan alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Namun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Menurut peguam syarie yang mewakili Diana, Akberdin, Mahkamah Tinggi Syariah juga mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara anak (interim) kepada Diana pada 24 Mac lalu.
Katanya, Diana juga membuat permohonan hadanah itu pada 23 Mac lalu.
Pasangan pelakon popular itu sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 November 2012.

#Diana Danielle #Farid Kamil #Mahkamah #Shah Alam #Sulh
;