Hiburan
"Saya Hanya Minta Tuhan Jaga..." - Kiah Propa Tak Kisah, Sanggup Ulang Alik Dari Teluk Intan Ke KL Demi Rawat Kanser Suami
Pelakon dan usahawan, Kiah Propa akui tidak mudah untuk berdepan dengan dugaan menjaga suaminya, Mohamad Nazri Ismail
yang merupakan penghidap kanser leher dan kelenjar air liur tahap empat.
Namun sebagai isteri, dia harus kuat dan percaya segala yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
BERITA BERKAITAN: Bagai Mati Hidup Semula, Suami Syukur Dijaga Kiah Propa - "Dia Sanggup Terima Dalam Keadaan Saya Tidak Sempurna"
BERITA BERKAITAN: Baru Bergelar Isteri Semula, Kiah Propa Diuji Kanser Suami Sudah Merebak - “Operation Tak Boleh Dibuat Disebabkan…”
"Saya pun manusia biasa, adakalanya saya pun ada rasa penat. Tetapi saya pegang pada satu. Allah ada," katanya.
Kiah berkata demikian ketika ditemui Gempak di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya baru-baru ini.
Ibu kepada dua anak ini juga memaklumkan kerap berulang alik dari Teluk Intan, Perak ke IKN Putrajaya setiap kali suaminya diserang sakit.
Kata kiah minggu ini sahaja dia telah ke Kuala Lumpur sebanyak empat kali.
"Apabila kemo, mungkin kesan daripada rawatan itu kulitnya jadi nipis dan sekarang bernanah.
"Jadi saya tak mahu dia terima sebarang jangkitan, sebab itu saya datang sini, kebetulan cuti berniaga.
"Saya tidak ada kata tidak, bagi saya semua boleh kerana ini melibatkan kesihatan dia. Bila dia bersuara kata sakit, saya mesti bawa dia ke IKN.
"Tiada halangan untuk saya dari Teluk Intan ke IKN, saya hanya minta Tuhan jaga, Insya-Allah Tuhan jaga," jelasnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya punca hatinya terbuka merujuk semula dengan Nazri, Kiah berkata dia mempunyai alasan tersendiri.
"Sebenarnya ada dua yang mana berbagai-bagai dan berbolak balik perasaan itu. Pada lapan tahun lepas memang saya tak nak rujuk semula.
"Sebab bagi saya selama lapan tahun saya seorang dan kita sebagai wanita sudah rasa selesa.
"Masa saya susah dia pun bantu juga, jadi saya tiada rasa nak kahwin balik tetapi bila melihat keadaan dia, mula-mula timbul rasa kesian.
"Bila kesian kita timbul rasa sayang pada dia. Jadi bila kita sayang kita kena teruskan. Sayang dan kesian dia umpama dua dalam satu," ujarnya.
Terdahulu, kisah perkahwinan Kiah Propa, yang kembali bergelar isteri kepada bekas suaminya, Mohamad Nazri Ismail telah menyentuh perasaan ramai.
Kiah menerima kembali suaminya dalam keadaan Nazri sedang bertarung dengan kanser tahap empat paling aktif.
Baru-baru ini Kiah yang baru sahaja pulang ke Teluk Intan, sekali lagi terpaksa ke IKN Putrajaya baru-baru ini apabila Nazri mengalami nanah dibahagian tengkuk hingga terpaksa menahan bisa.
Sekadar info, Kiah dan Nazri berkahwin pada 2011 dan bercerai beberapa tahun kemudian.
Hasil hidup bersama, pasangan ini dikurniakan dua orang puteri.