Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Saya Jadi Cikgu Untuk…”- Sarah Suhairi Tukar ‘Profesion’ Ketika Lockdown

Syafiqah Jalal 29/06/2021 | 10:11 MYT
Penyanyi Sarah Suhairi akui bersyukur kerana musim ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0) Penuh ini dia tinggal bersama keluarga dan dapat luangkan masa bersama.
Malah, paling ketara dalam tempoh itu, Sarah memberitahu dia banyak menjadi pembimbing kepada adiknya yang masih bersekolah dan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Saya tinggal bersama keluarga dan ada adik yang paling kecil berusia 11 tahun yang memerlukan pemantau ketika PdPR.
“Jadi memandangkan ibu bapa sibuk bekerja, saya ambil alih untuk jadi cikgu serta membantu adik bongsu belajar dan menjalani kelas secara virtual hampir setiap hari.
“Saya pun perlu ingat kembali pembelajaran waktu sekolah untuk membantunya belajar dalam beberapa subjek,” katanya kepada Astro Gempak.
Sarah mengulas mengenai hal tersebut ketika sesi sidang media alam maya untuk single terbaharunya berjudul Andaikan.
Sementara itu, Sarah memberitahu sebagai anak seni dia turut terkesan serba sedikit dalam tempoh pandemik ini, namun cuba mengisi masa yang ada untuk berlatih vokal di rumah.
“Kerjaya, alhamdulilah…Tidak dinafikan ia terkesan dari segi tawaran show atau persembahan di luar dari tahun lalu lagi kita tidak dapat membuat persembahan bersama penonton.
“Tapi saya tetap buat kerja dari rumah. Saya ada mini studio sendiri dan setiap hari akan lakukan latihan vokal.
“Selepas tempoh ini mungkin saya akan turun padang dan lebih fokus mempromosikan single Andaikan ini,” beritahunya.
Andaikan telah dirakamkan pada tahun 2019. Lagu ciptaan Sharon Paul itu menjadi runut rasmi buat drama terbaru bertajuk Hatimu Sedingin Salju.
#Penyanyi #Cikgu #Sarah Suhairi #Lockdown #profesion
;