Berita
“Saya Jaga Bayi Di Wad, Tak Pernah Buat Anak Orang”- Ibu Adam Rayqal
Ibu kepada Adam Rayqal, Farah Madihah akui terkilan dengan apa yang berlaku kepada anaknya berusia lima bulan yang ditemukan meninggal dunia dalam peti sejuk pada 3 Julai lepas.
Farah, 28, yang bertugas sebagai jururawat di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur berkata dia tidak pernah menjangkakan tragedi hitam itu akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan mereka.
"Saya jaga bayi di wad, saya tidak pernah buat anak orang, bila orang buat Adam begitu saya tidak boleh terima.
"Saya rasa terlalu sekejap bersama anak. Adam baru berusia lima bulan, memang asyik teringat dia (Adam Raykal) bila di rumah... saya tidak boleh bayang macam mana Adam menangis ketika kejadian," katanya.
Menurutnya, beliau kini reda dengan insiden yang menimpa anak sulungnya itu meskipun pada awalnya asyik menangis teringatkan Adam Raykal.
Pada awalnya beliau mengakui agak sukar untuk mempercayai pengasuh berkenaan, namun wanita itu berjaya meyakinkannya dengan berjanji menjaga Adam Raykal sebaik mungkin.
"Memang susah nak meletakkan keyakinan kepada pengasuh tapi bila dia (pengasuh) beri keyakinan dan menjaga anak OKU (Orang Kurang Upaya) sedikit sebanyak saya membuat pertimbangan menghantar anak saya kepadanya," katanya.
Menceritakan detik kejadian, Farah Madihah berkata pengasuh berkenaan menghubunginya dan mendakwa suaminya Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, telah mengambil anak mereka.
"Saya memang betul-betul ingat anak dilarikan, tak terfikir dia (pengasuh) bertindak sedemikian,"katanya.
Farah Madihah berkata dia kini bercuti dan masih menunggu keputusan permohonan pertukaran ke Terengganu.
Pada 3 Julai lalu, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves disini sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis di bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.
Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.
Sumber: Bernama