Viral
"Saya Masih Belum Mati, Tiada Dua Wak Doyok Di Dunia Ni" - Wak Doyok Paten Imej Sendiri?
Perselisihan faham antara ikon fesyen Wak Doyok dan bekas pengurus peribadinya, Asyraff Mazlan belum berkesudahan.
Terbaharu, Wak Doyok telah memuat naik entri panjang lebar menjelaskan situasi sebenar antara dia dan rakan perniagaannya itu.
"Saya berasa hiba, kesal dan terkilan terhadap tindakan-tindakan beliau di dalam Instastory Asyraff Mazlan yang cuba mencemarkan dan mencalarkan nama baik Wak Doyok yang dicipta dan dibina menggunakan kudrat saya sendiri selama 3 tahun.
"Instastory dari beliau yang menerima liputan media baru-baru ini betul betul terkesan terhadap diri saya kerana saya dah menganggap dirinya umpama adik kandung saya sendiri.
"Saya masih harap silaturrahim yang diikat tidak putus ditengah jalan.
"Meskipun terasa seperti di tikam dari belakang, sebagai seorang yang sentiasa menampilkan imej sartorialis dan gentleman saya masih positif terhadap apa yang berlaku dan berpandangan bahawa salah faham ini akan ditangani dengan cara gentleman," tulis Wak Doyok.
Pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu turut mengulas tentang hak perniagaan dan jenama produknya.
"Sebelum ditular, saya memanggil semua peminat dan orang-orang awam untuk tidak cepat mengecam dan mengeluarkan komen-komen berunsur fitnah dan tidak tepat terhadap diri Wak Doyok mahupun AshraffMazlan.
"Tapi fikirlah sejenak, tidak munasabah dan tak masuk akal langsung apabila dia mendakwa dan menuntut dia memiliki hak imej, hak cipta, hak reka dan hak keatas diri saya? Saya masih belum mati untuk dia mewarisi hak-hak yang sememangnya adalah zahir dan batin mutlak diri saya yang dikenali sebagai Wak Doyok. Tiada dua Wak Doyok di dunia ini.
"Syarikat syarikat tersebut hanyalah untuk menentukan peratusan keuntungan yang dikongsi bukan keatas apa yang mutlak kurniaan dan rahmat tuhan kepada diri saya. Samada syarikat tersebut ditubuhkan berdasarkan persetujuan saya, masih belum lagi saya boleh komen. Biarlah keadilan menentukan.
Namun, saya masih positif dan menyeru semua pihak untuk tidak menularkan perkara yang tidak benar. Tindakan yang sewajarnya telah diambil dan akan diambil. Saya berdoa agar rezeki saya berpanjangan dan sokongan dari peminat-peminat masih kuat.
Secara peribadi, saya telah mengambil iktibar terhadap kejadian yang berlaku dan beriltizam untuk terus mengorak langkah ke depan," tulisnya bersama tanda pagar #AkuYangPakaiKoYangPanas #PencuriHakOrang #MyIpo #Keadilan.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @wakdoyok