Laman Utama

“Saya Masih Sayangkan Diana” - Farid Kamil

Gempak
20/03/2023
07:27 MYT
Sponsor Banner
“Saya Masih Sayangkan Diana” - Farid Kamil

Aktor dan pengarah sensasi, Farid Kamil enggan melafazkan talak kepada isterinya, Diana Danielle.

Lapor Berita Harian, Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 42, berharap isu rumah tangganya dapat diselesaikan dengan jalan perdamaian.

Katanya lagi, keengganan melafazkan talak juga disebabkan masih sayangkan keluarganya.

"Saya ingin selamatkan keluarga menerusi jalan perdamaian di mahkamah. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah.

"Saya masih sayangkan Diana dan tentunya, dua cahaya mata, Muhammad dan Aurora," katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Anwar: The Untold Story itu menafikan wujud krisis antaranya dan Diana hingga membawa keretakan dalam hubungan mereka.

"Sebenarnya, tiada apapun yang berlaku. Sebagai suami, saya tiada masalah. Tanyalah Diana, apa masalah dia," ujar Farid.

Biarpun berdepan konflik rumah tangga, Farid berkata, isu keretakan rumah tangga tidak langsung mengganggu emosinya.

"Ketika ini, saya sedang sibuk di lokasi penggambaran. Alhamdulillah, fokus saya kini lebih kepada mencari nafkah," katanya.

Terdahulu, berita kemelut rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada awal bulan ini atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Permohonan cerai disebut di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Shah Alam, pagi Isnin. Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada November 2012. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 10, dan Aurora, 7.

Sumber - Berita Harian

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar