Viral
"Saya Masih Solat 5 Waktu" - Anas Ambil Masa 3 Hari Siapkan Lathi Challenge, Dapat Pujian Komposer Lagu Indonesia
"Saya masih solat 5 waktu, Lathi Challenge ni sekadar seni persembahan bukannya pemujaan," demikian pandangan usahawan ANAS Cosmetics, Anas Zahrin berhubung video Lathi Challenge yang tular di media sosial baru-baru ini.
Mendapat lebih 1.4 juta jumlah tontonan di Instagram dan Twitter dengan capaian lebih 25 juta di laman sosial, Anas menegaskan tindakannya itu sekadar menghargai budaya nusantara selain mempromosikan koleksi terbaru juga bertemakan batik untuk produk kosmetiknya yang akan dilancarkan kelak.
"Ini kali pertama saya menyahut cabaran di media sosial dan terkejut dengan pelbagai maklum balas yang saya terima sejak dimuat naik di media sosial.
"Masing-masing ada pandangan sendiri dan saya terima dengan hati yang terbuka, positif dan berlapang dada, setiap orang ada pandangan masing masing, saya tidak akan membidas mahupun membalas untuk setiap daripda reaksi mereka, platform media sosial adalah ruangan terbuka buat semua jadi mereka mempunyai hak untuk bersuara serta komen.
"Lathi Challenge ini sekadar mempamerkan hasil seni dan kerja keras daripada semua pihak termasuk jurusolek, jurusolek kesan khas, penata gaya, produksi belakang tabir dan penyunting," katanya kepada Gempak.
Anas dan tenaga kerjanya mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan video berdurasi seminit itu yang memaparkan aksinya dalam versi orang biasa, putera Jawa dan makhluk jahat.
"Video ini melambangkan perasaan dalam diri kita sebenarnya yang punyai sisi positif dan negatif yang mana setiap hari kita sebagai manusia biasa mempunyai perasaan ini yang kita cuba lawan serta menangkan.
"Malah diruangan kapsyen itu sendiri sudah terangkan maksud penuh di sebalik video tersebut jadi terpulang kepada semua untuk menilai dari sudut yang mana.
"Pasukan saya mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan video ini termasuk sehari proses suntingan dan ia sangat memenatkan.
"Saya perlu disolek selama lima jam dengan menggunakan pelbagai teknik kesan khas serta bahan seperti lateks, madu, zip pakaian demi mendapatkan kesan khas yang diinginkan.
"Selain itu, saya juga tertarik dengan cabaran ini kerana ia memaparkan muzik moden dan elemen Jawa.
"Oleh kerana saya juga punyai darah berketurunan Jawa Bugis serta punyai latar belakang penari ketika di Universiti Teknologi Mara Jengka, Pahang suatu masa dulu, jadi saya cuba lakukan serta sahut cabaran ini," jelasnya.
Sepanjang proses penggambaran, Anas tidak berdepan sebarang gangguan seperti beberapa kisah yang pernah tular sebelum ini.
"Mungkin lenggok lagunya agak unik, ramai yang fikir bukan-bukan. Padahal maksud lirik Jawanya itu tentang kehidupan kita dan tiada apa-apapun sebenarnya," kata Anas lagi.
Lebih manis apabila hasil kerjanya diiktiraf komposer dan penulis lirik lagu Lathi @ybrap, Weird Genius, selebriti tempatan dan Indonesia serta netizen dari kedua-dua buah negara Malaysia dan Indonesia.
"Mereka memuji usaha yang saya lakukan untuk mengangkat budaya Jawa di Malaysia sekali gus saya rasakan video ini menjadi penghubung antara negara kita dan Indonesia.
"Malah, kebanyakan komen yang diterima dari pengguna serta beberapa jurusolek terkenal Indonesia adalah positif, itu sudah memadai dan memberi kepuasan kepada saya" ujarnya yang mana jika tiada aral melintang bakal menyahut cabaran Semerah Padi dan Asmaradana pula selepas ini.
Lagu nyanyian Sarafajira itu mula mendapat perhatian ramai selepas tular Lathi Challenge di media sosial.