Laman Utama
"Saya Menangis Dalam Bilik Seorang Diri"- Demi Coast Guard, Julia Farhana Cabar Diri
Pelakon Julia Farhana akui menjayakan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang bakal ditayangkan bermula hari ini adalah pengalaman lakonan yang paling sukar dan mencabar yang pernah dilalui.
Latihan dan penggambaran yang lasak dan menguji ketahanan tubuhnya membuatkan Julia mendedahkan dia pernah menangis seorang diri.
"Bukan mudah untuk menjayakan filem ini saya terpaksa mengikuti latihan yang disediakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selama tiga bulan sebelum penggambaran filem Coast Guard bermula.
"Latihannya sangat kental saya perlu bangun awal pagi iaitu selepas subuh sahaja sudah perlu berlari sejauh dua kilometer tanpa mengambil sarapan dan kemudian melalui banyak latihan lain seperti renang dan sebagainya.
"Penat memang penat sehingga saya menangis dalam bilik seorang diri. Terpaksa sorok yang saya tak larat kerana saya nak penerbit nampak saya tak boleh buat kerana bukan mudah nak dapat peluang ini," katanya kepada Astro Gempak.
Pun begitu, Julia memberitahu penant lelahnya berbaloi dan teruja membawakan watak lakonannya sebagai Melati iaitu perempuan lasak yang mempunyai semangat juang seorang wanita.
"Walaupun aktiviti lasak lebih sinonim dan cenderung dengan lelaki, tapi wanita juga boleh melakukannya. Dalam filem ini, saya sangat terinspirasi dengan semangat seorang pegawai wanita yang bertugas dalam APMM.
"Jika mereka mampu menjadi wanita tangkas beraksi, kenapa saya tidak mencabar diri untuk mencuba. Walaupun tidak sehebat mereka, tapi saya boleh lakukan semampu diri.
"Lagi pula, bukan mudah untuk dapatkan watak Melati itu. Saya perlu bersaing dengan beberapa pelakon wanita lain untuk watak aksi," kongsinya lagi.
Filem Coast Guard yang mendapat sentuhan arahan Allahyarham Pitt Hanif yang penggambarannya dibuat sejak 2018 turut dibintangi pelakon lain seperti Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramli, Sabri Yunos dan Datuk Fizz Fairuz. Ia akan menemui penonton di pawagam pada 2 Februari ini.