Laman Utama
"Saya Minta Maaf...Food Bank Tak Sesuai Untuk..." - Iesya Toh Lebih Yakin Turun Padang Hulur Sumbangan
Pengacara Iesya Toh merasakan turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan ketika pandemik COVID-19 ini adalah satu cara yang berkesan.
Menurut Iesya, ianya lebih menjamin sumbangan sampai kepada orang yang betul berbanding dengan hanya meletakkan makanan di 'food bank' sahaja.
Kata Iesya, terdapat ramai golongan yang mementingkan diri sendiri dan mengambil makanan berlebihan di 'food bank' yang disediakan.
"Bila kita sendiri turun padang, memang cara ini berkesan kerana kita tahu bantuan sampai pada orang yang betul.
"Ianya lain dengan food bank, saya baru lihat ada orang ambil makanan di food bank dalam kuantiti yang sangat banyak, dalam keadaan sekarang ni sebenarnya ramai yang pentingkan diri sendiri, ambil banyak makanan untuk buat stok sampai licin food bank," katanya menerusi sebuah video di Instagram.
Justeru, Iesya merasakan 'food bank' agak kurang bersesuaian untuk disediakan di Malaysia.
"Saya minta maaf, tapi saya rasa food bank tak sesuai untuk rakyat negara kita, sebab kita ini kurang integriti, kurang rasa amanah dan jujur untuk diri sendiri.
"Kadang-kadang kita lupa, dalam setiap rezeki kita itu ada rezeki orang lain, jadi kenalah jujur," katanya.
Dalam pada itu, Iesya yang aktif memberikan sumbangan ketika detik sukar ini memohon jasa baik mereka yang terlibat untuk tidak berkongsi foto menerima sumbangan daripadanya di media sosial.
Menurutnya, dia memerlukan privasi dan betul-betul ikhlas menghulurkan bantuan.
"Saya mohon privasi, tolong hormati privasi saya, saya faham bila kita turun padang ada yang ambil gambar.
"Saya mohon untuk anda tidak berkongsinya di media sosial dan jangan tag saya, kerana saya ikhlas memberi bantuan.
"Bantuan yang saya berikan bukan sebab saya nak jadi YB, bukan juga sebab saya nak bertanding, dan bukan sebab nak dapat pujian," katanya lagi.