Laman Utama
“Saya Nak Mereka Faham…”- Komen Penuh Bahasa Melayu, Maryam Bangga Jadi Juri ATNM2
Pempengaruh Maryam Durian Kimchi akui cuba sedaya upaya bercakap penuh Bahasa Melayu sewaktu memberikan komen sebagai juri di program All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM2).
Kata Maryam yang berasal dari Korea dan kini sudah memeluk Islam, dia suka untuk berlajar bercakap mengikut gaya percakapan bahasa 'pasar'.
“Setakat ini saya boleh komen peserta sepenuhnya dalam Bahasa Melyau dan cuba ikut bahasa pasar di sini. Sebab dulu saya duduk di Korea pun saya suka tiru 'slang' orang di sana.
“Saya tahu Bahasa Melayu pun ada 'slang' jadi saya cuba belajar kerana ia memang seronok dan sedap bunyinya. Macam di sini ada perkataan ‘lah’, ‘kan’ dan sebagainya.
“Saya mahu peserta dan penonton juga rasa sedap bila dengar saya komen.
“Terus-terang saya tak rasa susah pun hendak komen cuma saya sukar hendak faham bila orang bercakap terlalu laju. Saya akan faham jika sebutan itu perlahan dan satu persatu,” katanya kepada Astro Gempak.
Isteri kepada pempengaruh Ryzal Durian Kimchi itu ditemui Gempak ketika rakaman program ATNM2 sebelum ini.
Semalam, Maryam diberi peluang memberikan komen kepada salah seorang peserta ATNM2 dan rata-rata juri dan penonton lucu apabila dia sempat meminta pelawak yang juga juri, Joey agar tidak menyelit dan menggangu ketika dia sedang memberikan komen.
Malah Maryam sempat berseloroh, “jangan ambil kerja saya lah”
Dalam pada itu, Maryam juga meluahkan rasa bangga apabila dia dipilih menjadi juri sebaris dengan 49 selebriti lain di ATNM2.
“Saya tak pernah terbayang boleh jadi di antara 50 juri di ATNM2. Bila mereka jemput saya memang terkejut macam mana mereka boleh percayakan saya untuk menjadi juri.
“Pada mulanya saya agak gementar kerana jur-juri lain semua selebriti yang pastinya pandai bercakap sedangkan saya hanya seorang orang Korea.
“Terfikir juga macam mana saya nak survive kerana saya tak begitu fasih berbahasa Melayu. Namun disebaliknya saya juga bangga kerana dapat mewakili negara saya,” beritahunya lagi.
ATNM2 mempersembahkan barisan juri yang popular dan terkenal dengan mengetengahkan 13 muka juri baharu termasuk Datuk Aznil Hj. Nawawi, Ajai, Rozita Che Wan, Shila Amzah, Nikki Palikat, Marsha Milan, Reshmonu, Vince Chong serta ramai lagi.
Datuk Syafinaz Selamat pula menggalas tugasan sebagai Kapten Juri yang baharu.
Manakala pengacara bubbly dan bertenaga, Sherry Alhadad kembali untuk mengemudi ATNM2.
Saksikan All Together Now Malaysia 2 yang bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria serta strim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.