Laman Utama
“Saya Pendam Lebih Dari 10 Tahun…” Nikki Palikat Dedah Kisah Di Sebalik Perceraiannya Dengan Audi Mok
“Saya pendam lebih dari 10 tahun. Saya cuba untuk perbaiki, tetapi kalau sudah tiada keserasian, tak guna juga,” Nikki Palikat mengulas mengenai berita perceraiannya bersama komposer dan produser popular, Audi Mok yang diberitakan oleh media hujung minggu lalu.
Sepanjang 13 tahun bersama, Nikki mendedahkan yang dirinya sering memendam perasaan selama mendirikan rumah tangga bersama bekas suami.
Sebaliknya, sebagai ibu dan bapa kepada anak mereka, Liam, 12, hubungan mereka baik-baik sahaja.
“Saya berkahwin pada usia muda dan mungkin ketika itu saya tidak mengenali diri sendiri. Dan selepas banyak percanggahan berlaku, saya tahu kami tiada keserasian.
“Sebagai isteri, sudah tentu (tidak bahagia). Tetapi, walaupun tidak bahagia sebagai isteri, hubungan kami sentiasa rapat sebagai kawan. Ketika saya sakit ketika menyertai Gegar Vaganza, dia datang ke hospital melawat saya dan membawakan makanan yang dimasak sendiri.
“Walaupun kami tidak lagi bersama, dia tetap menyokong saya dan selalu ada untuk saya. Di situ saya tahu, kami boleh teruskan hubungan sebagai bekas pasangan suami isteri,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, ditanya mengenai punca sebenar perceraian, Audi yang turut hadir berkata, ia mungkin disebabkan kesibukan kerja.
“Ya, saya rasa mungkin kerana kesibukan kerja. Sebenarnya ketika itu pandemik baru bermula, jadi disebabkan situasi kerja, saya sangat sibuk.
“Tetapi, bagi saya, walaupun perkahwinan saya terputus di tengah jalan, saya tetap bersyukur dan merasakan perkahwinan ini sebagai satu rahmat,” katanya.
Nikki dan Audi turut memberitahu bahawa mereka memutuskan untuk berpisah pada awal 2021.
Disoal pula adakah lagu Sudah yang dirakam baru-baru ini ada kena mengena dengan kisah hidupnya sebagai bekas isteri Audi, Nikki berkata: “Lagu itu sebenarnya dicipta untuk arwah Sarah.
“Namun, melihat pada lirik lagu berkenaan, ia sangat relatable,” tutup Nikki.
Pasangan tersebut mengumumkan perceraian mereka secara rasmi pada hari ini, 27 Jun, di pejabat Indigital Music sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-13.
Nikki dan Audi mendirikan rumah tangga pada Jun 2009 di sebuah gereja di Petaling Jaya dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Liam.