Hiburan
“Saya Pernah Hidup Susah, Alas Perut Dengan Mi Segera, Tapi Doa Ibu Kejayaan Saya Hari Ini…” – Fariz Jabba
Penyanyi Rap Fariz Jabba mendedahkan pernah hidup susah, tidak berduit dan terpaksa alas perut dengan mi segera sebelum berjaya seperti hari ini.
Menurut Fariz yang kini berada di bawah label Def Jam South East Asia, dia menceritakan tentang kisah hidupnya itu menerusi lagu ‘Ape Sia’.
“Waktu itu hidup saya sangat susah tetapi saya tidak menjadikan cabaran hidup itu dengan menghasilkan lagu dan lirik sedih, hiba, mendayu, meruntun perasaan dan minta simpati orang.
“Hidup ini bukan untuk bersedih. Saya takkan bersedih dan merintih sebaliknya saya berusaha untuk gembira, selalu bersama keluarga dan rakan-rakan kerana merekalah sumber kekuatan saya. Pergi taman tengok bunga dan lihat alam sekeliling, kita kena sayangkan diri sendiri.
“Dengan kejayaan sekarang, setiap hari saya berdoa dan bersyukur kepada Allah SWT, tidak pernah lupakan keluarga terutama ibu dan rakan-rakan yang menyokong saya sejak dulu.
“Tanpa ibu, tiadalah saya. Keyakinan untuk buat lagu serta menjadi artis adalah dorongan daripada beliau,” katanya.
Fariz Jabba mula dikenali di Malaysia selepas Joe Flizzow memuat naik videonya di saluran Youtube, 16 Baris.
Penyanyi rap kelahiran Singapura ini mula berjinak-jinak dalam bidang muzik pada usia 17 tahun dengan menghasilkan lagu dan menulis lirik.
Fariz turut menghasilkan video sendiri dan memuat naik di saluran Youtube dan Instagram (IG)nya.
“Saya buat lagu, tulis lirik dan hasilkan video sendiri lalu dimuatnaik dalam Youtube dan Instagram (IG) saya.
“Joe Flizzow ternampak video itu dan dia muat naik pula dalam Youtube 16 Baris dan selepas itu saya diundang membuat persembahan di Malaysia,” katanya.
Rezeki terus memihak kepadanya apabila mendapat peluang muncul dalam siri Youtube Joe Flizzow iaitu 16 Baris.
Dengan lagu hits yang berjudul Masa dan Ape Sia sehingga berjaya meraih sejuta view di Youtube, Fariz adalah bakat baru yang bakal menarik perhatian ramai.
“Saya dapat rasakan audiens tertunggu-tunggu bila saya nak keluarkan lagu lalu terakamlah lagu Ape Sia, diikuti lagu Masa,” katanya ketika ditemui di Universal Music Malaysia.
Rancangan Fariz seterusnya, untuk merakamkan lagu baru. Jelasnya, dia bercadang keluarkan lagu baru enam bulan sekali kerana dia cepat jemu.
“Saya perlu hasilkan lagu-lagu baru dengan pelbagai genre tidak hanya ‘terperangkap’ dengan hip hop dan R&B saja. Saya akan meluaskan muzik saya dalam irama balada, tekno, dalam bahasa Cina dan Tamil selain Bahasa Melayu dan Inggeris.
“Jika anda perhatikan stail baju saya juga berubah-ubah. Penampilan saya dalam Ape Sia, Masa dan IG, semua lain sebab saya suka tukar-tukar. Saya bukan hanya rapper, tetapi saya adalah artis dan penghibur. Kalau anda sukakan ‘seni’, ikutlah saya,” katanya.
Menyorot lebih jauh perjalanan seninya, Fariz sedia berkolaborasi dengan mana-mana artis asalkan ada chemistry.