Laman Utama
“Saya Pernah Keluar Wings, Tapi Takda Bising Pun Soal Nama” - Datuk Awie Akui Kecewa Dengan Perbalahan Search
Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie mengakui kecewa melihat perbalahan yang berlaku pada Search sehingga anggota kumpulan rock legenda itu kini terbahagi kepada dua.
Menurut Awie, sebagai sebagai artis yang lebih junior, dia melihat hal seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan industri hiburan di Malaysia sangatlah kecil.
“Kami sudah anggap mereka itu seperti abang kami. Jadi kita sangat kecewa kerana dah tua pun mereka boleh jadi tamak haloba.
“Dek kerana nama sahaja dan bukan ada harta pun? Kecewalah, sepatutnya hal sebegini tidak berlaku. Masing-masing nak cari makan, Malaysia ni kecil pusing-pusing jumpa orang yang sama,” katanya kepada Gempak.
Tambah Awie, mereka yang memutuskan untuk keluar daripada kumpulan tidak seharusnya bertelingkah untuk menggunakan nama kumpulan yang ditinggalkan.
“Yang dah keluar tu keluarlah, tinggalah yang Search yang sedia ada. Itulah Search pada saya. Kamu dah umum keluar tapi kamu nak ambil nama tu, mana boleh. Dah keluar, buat nama baru,” katanya.
Awie menjelaskan, soal hak cipta tidak timbul memandangkan kumpulan-kumpulan lama tidak pernah mengalami isu sebegini.
“Hanya orang tamak sahaja kecoh pasal ni, orang lain takda kecoh. Kalau tengok Alleycats, Carefree, Revolvers, Sweet Chartity - tiada pun orang sibuk pasal nama. Yang ni kita pelik.
“Kalau dia nak pegang nama itu untuk kepentingan masa depan, itu lain. Dia akan register nama tersebut. Kalau company yang register, nama itu menjadi hak milik company. Kalau dia nak rebut, dia kena berbincang dengan siapa yang cipta nama kumpulan dan register, supaya sesiapa tidak boleh claim,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Awie memberi contoh dirinya yang pernah keluar daripada Wings, tetapi tidak terlibat dalam polemik seperti Search.
“Saya yang bagi nama Wings dan saya pernah keluar daripada kumpulan. Tapi saya tak bising soal nama. Kamu nak cari makan, saya pun nak cari makan. Apa yang teruk sangat nak gaduh pasal nama ni?
“Kamu tiada kekuatan nama lain ke? Nama kamu sendiri tak kuat ke? Kamu tiada populariti ke? Kamu dah ada populariti, kamu bawalah populariti itu untuk bina satu perkara baharu. Kamu nak guna nama itu juga lepas tu nak hukum kawan-kawan nak bunuh kawan-kawan. Apa faedah ni? Takda faedah.
“Kami pun ada anggota yang keluar, dia masih guna nama belakang Wings. Ada kami bising? Kami ketawa jelah…” tutur Awie.
Dalam perkembangan lain, Awie memberitahu yang tiket bagi persembahan Wings Rocks & Dine 36 Anniversary Celebration di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 26 Februari depan sudah habis dijual.
Menurut Awie, dia berasa sangat terharu kerana meja untuk makan malam tersebut sold out hanya dalam masa seminggu sahaja.
“Setakat ini, kami akan melakukan persediaan yang rapi dan berharap dapat memberikan yang terbaik kepada peminat yang bakal hadir pada malam persembahan itu nanti,” katanya.