Laman Utama

“Saya Rasa Dizalimi” - Ditamatkan Kontrak Sebagai CEO FINAS, Bapa Anzalna Tak Tolak Ada Campur Tangan Politik & Kroni

Mya Amri
01/06/2023
06:35 MYT
Sponsor Banner
“Saya Rasa Dizalimi” - Ditamatkan Kontrak Sebagai CEO FINAS, Bapa Anzalna Tak Tolak Ada Campur Tangan Politik & Kroni
Bapa kepada pelakon, Anzalna Nasir iaitu Prof Dr Md Nasir akui terkejut selepas menerima surat penamatan perkhidmatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemanjuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Menurut Md Nasir, dia tidak diberi peluang untuk berbincang atau membela diri sekiranya keputusan yang dibuat melibatkan salah laku integriti atau kes jenayah.
“Saya dapat tahu penamatan ini adalah persetujuan bersama ahli lembaga pengarah (Finas). Tetapi saya tidak pernah dipanggil berbincang atau dimaklumkan hal ini lebih awal. Jadi saya rasa dizalimi apabila berlaku begini.
“Kalau ada masalah integriti atau jenayah saya berhak dipanggil untuk membela diri. Namun ia tidak berlaku. Jadi memang terkejut dengan keputusan ini,” katanya kepada pemberita.
Md Nasir ditemui ketika mengadakan sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah Md Nasir, dia juga tidak menolak wujudnya unsur kroni dalam pentadbiran Finas yang kurang bersetuju dengan pendiriannya sekaligus menyebabkan mereka sukar bekerjasama.
“Secara personal saya tidak menolak wujud kroni. Benda ini memang tidak bagus, namun ia pasti akan berlaku dalam mana-mana organisasi.
“Ada manusia begitu yang susah untuk menerima teguran. Contoh paling mudah adalah apabila saya menegur kakitangan yang berada di cafe dalam waktu bekerja. Saya tegur untuk memperbaiki.
“Sidang media ini bertujuan untuk membersihkan nama saya. Saya tidak mahu ada yang anggap bukan-bukan kerana ia berlaku dalam tempoh 24 jam,” ujarnya.
Bercakap tentang perancangan peribadi, Md Nasir mahu mengambil tempoh rehat selepas berkhidmat selama 1 tahun 7 bulan namun masih terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan industri filem tempataan.
“Saya reda dengan keputusan ini. Bagilah masa saya berehat dahulu.
“Saya juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk kemajuan industri filem kita. Saya amat berbesar hati untuk memberi sumbangan,” jelasnya.
Md Nasir memulakan perkhidmatan pada 1 November 2021 dan dijangka berakhir pada 31 Oktober nanti.
Dia menerima surat penamatan perkhidmatan itu dari Pengerusi Finas Datuk Kamil Othman pada 31 Mei pukul 4.30 petang.
Terdahulu, industri seni digemparkan dengan penamatan perkhidmatan Md Nasir setelah dia menerima notis 24 jam pada petang Rabu dan berkuat kuasa bermula 1 Jun.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) juga mengesahkan sudah menamatkan kontrak Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berkuat kuasa hari ini.
Menurut FINAS dalam satu kenyataan akhbar, keputusan itu diambil untuk melakukan penstrukturan semula atau recalibration ke atas dasar, program dan aktiviti kreatif bagi menghasilkan filem tempatan yang berkualiti.
Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan perlantikan Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 31 Oktober 2021 hingga 20 Oktober 2023.
Pelantikan beliau menggantikan bekas CEO FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mengakhiri tugas 15 Oktober 2021.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar