Berita

“Saya Tak Pasti Ada Mengambil Bahan Terlarang Atau Tidak”-Sofi Jikan Terkejut Positif Ganja

Syafiqah Jalal
29/06/2019
03:45 MYT
Sponsor Banner
“Saya Tak Pasti Ada Mengambil Bahan Terlarang Atau Tidak”-Sofi Jikan Terkejut Positif Ganja
Pelakon Sofi Jikan mengakui dirinya terkejut selepas ujian air kencingnya positif ganja, tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan Sofi ketika disoal peguam Datuk Haniff Hassan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, dalam prosiding bela diri di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam
Menurut Sofi, ketika itu, dia berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas diminta melakukan ujian air kencing bagi membantu siasatan kes penahanan pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari.
“Satu botol urin diserahkan kepada saya dengan diiringi seorang anggota polis ke tandas bagi melakukan ujian berkenaan.
“Selepas selesai, saya menyerahkan semula botol itu kira-kira 10 malam dan menunggu keputusan ujian air kencing,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, pelakon yang sering membawakan watak antagonis itu terkejut selepas diberitahu hasil ujian urin itu positif dadah.
“Saya tidak pasti ada mengambil bahan terlarang atau tidak, jadi terkejut,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya Haniff mengenai perkara yang berlaku pada dirinya dua atau tiga hari sebelum dia ditahan polis, pelakon itu memaklumkan bahawa, dia menghadiri majlis jamuan makan malam bersama peminat di sebuah lokasi.
“Sebagai seorang perokok, saya selalu menerima hadiah seperti rokok dan sebagainya di setiap majlis dihadiri,” katanya.
Ditanya Haniff mengenai sama ada Sofi mengambil dadah jenis kanabis (ganja) pada hari jamuan itu, pelakon KL Gangster itu hanya menjawab ‘saya tidak pasti’.
Terdahulu, Sofi memberitahu, dia menerima panggilan daripada seorang pegawai polis dikenali Inspektor Khairuddin yang memintanya hadir ke Balai Polis Mutiara Damansara pada 6 Februari 2018 untuk membantu siasatan membabitkan Farid.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid dan mahkamah menetapkan 31 Julai sebagai keputusan akhir pembelaan.
Pada 13 Februari 2018, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 11.15 malam, 6 Februari tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Farid membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas di sebuah balai polis, Januari tahun lalu.
Dia turut mendakwa diberikan rokok yang disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah. Pendedahan itu membawa kepada penahanan Sofi yang didapati positif dadah ketika memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiara Damansara, 6 Februari tahun lalu.
Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar