Hiburan
"Saya Tak Takut Dibenci Penonton Kerana Watak Jahat" - MK K-Clique
Sinonim dengan watak hero romantik dalam drama cinta, watak Bono dalam filem Rebel : Berontak Untuk Berotak menampilkan sisi berbeza penyanyi dan pelakon MK K-Clique dengan melakonkan watak jahat di layar perak.
MK berkata, dia juga memang mengidamkan watak jahat (antagonis) dalam filem genre aksi sekali gus mencabar kemampuannya dalam bidang lakonan.
“Bila ditawarkan watak Bono, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam filem sulung, Datuk Awie dan mencabar diri melakonkan watak jahat dalam filem.
“Saya tidak takut dibenci penonton kerana melakonkan watak jahat kerana ia sekadar lakonan.
“Watak Bono menjadi penjahat kerana dia tinggal di kawasan setinggan dan terdedah dengan persekitaran yang kurang baik,” katanya.
Takut bekerja dengan Awie
Berkongsi pengalaman bekerja dengan Awie, kata MK, pada mulanya, dia berasa takut dan gementar untuk bekerjasama dengan vokalis kumpulan rock legenda Wings itu.
“Sebagai pelakon baharu, saya tidak tahu karakter Awie di lokasi. Namun, saya tidak sangka, Awie seorang yang sangat baik, berhemah tinggi dan sangat professional ketika bekerja.
“Kalau kita buat sesuatu yang tak kena pun dia akan datang dan tegur dengan cara yang lembut dan sangat berhemah.
“Kalau penggambaran bermula lambat, Awie sendiri akan datang berjumpa pelakon dan kru untuk mohon maaf dan pastikan keadaan semua orang okay di lokasi,” katanya.
Sakit-sakit badan
Ditanya babak paling mencabar pula, kata MK, ia membabitkan babak pergaduhan dalam filem itu.
“Saya banyak babak dengan watak utama Luka (lakonan Ben Amir) dalam filem ‘action pack’ ini..“Paling mencabar untuk buat babak pergaduhan yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 6 pagi.
“Saya tidak mengalami kecederaan kerana produksi sangat menjaga aspek keselamatan dengan menyediakan pelakon lagak ngeri untuk babak yang bahaya.
“Sebelum penggambaran, kami juga giat berlatih dengan bantuan koreografer disediakan produksi di lokasi. Setakat sakit-sakit badan tu perkara biasalah dalam filem aksi,” katanya.
Filem Rebel: Berontak Untuk Berotak diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan kos pembikinan mencecah hampir RM1 juta.
Selain Ben dan MK K-Clique, filem arahan sulung Awie itu turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.
Ia mula menemui penonton di pawagam di seluruh negara bermula 2 Mei lalu.