Hiburan
"Saya Tak Tipu!" - Dakwa Alami 'Mild-Depression', Haqiem Rusli Mohon Maaf
Penyanyi Haqiem Rusli, 20, menegaskan dia tidak menipu mengenai masalah kemurungan yang dialami sejak awal tahun ini.
Haqiem bersama pihak FMC Music mengadakan sidang media tergempar mengenai isu ini di SukaSucre Bistro, Kuala Lumpur sebentar tadi.
"Salah faham mengenai pengakuan saya tentang kemurungan sebelum ini berlaku atas sebab saya menggunakan perkataan salah dalam menjelaskan situasi yang saya hadapi.
"Saya bukan orang yang pandai, ketika saya pakai perkataan kemurungan, mungkin saya salah pilih perkataan untuk menggambarkan situasi saya. Tetapi saya tak tipu mengenai keadaan yang saya alami," katanya.
Tambah pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli ini, dia mengalami kemurungan ringan kerana tekanan kerja, masalah tidak boleh tidur di waktu malam, berat badan tidak konsisten serta menerima banyak kecaman netizen.
"Saya tak tipu, takkanlah saya nak main-main dengan perkara ini. Saya menghadapinya dan menegaskan sekali lagi ia benar kerana saya menanggungnya seorang diri.
"Situasi ini bukan gimik untuk melancarkan single terbaru saya yang berjudul Selamat Tinggal Sayang," katanya lagi.
Haqiem mendakwa dirinya menghadapi 'mild-depression' tetapi perkara ini belum disahkan oleh pakar.
Haqiem belum merujuk kepada doktor atau pihak pakar psikatris berkenaan dengan perkara ini.
"Saya belum berjumpa doktor lagi tetapi saya merasakan saya menghidapi 'mild-depression' berdasarkan pengalaman rakan yang pernah mengalami depresi.
"Saya sudah pun menetapkan tarikh temujanji untuk bertemu pihak pakar dan saya akan berjumpa mereka esok," kata Haqiem.
Di sidang media tersebut, penyanyi lagu Tergantung Sepi ini memohon maaf atas siri kontroversi yang terjadi kebelakangan ini selepas dia mengumumkan mahu bersara sebagai penyanyi dan mengalami depresi.
"Saya memohon maaf atas segala salah silap yang berlaku. Saya juga memohon maaf jika kelab peminat saya, Qiemilio bertindak di luar batasan ketika isu ini sedang diperkatakan.
"Saya juga memohon maaf kepada semua artis, terutamanya kepada Ernie Zakri dan Wany Hasrita yang turut terpalit dengan isu ini," katanya lagi.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: FM