“Saya Tawakal Saja” - Tebar Roti Canai Dikala Banjir, Peniaga Ini Jadi Tumpuan!
Baru-baru ini tular di Facebook apabila seorang pengusaha kedai roti canai bertindak membuka premisnya biarpun kawasan yang terletak di Kampung Seberang Tayor, Terenggau dilanda banjir.
Tambah menarik, premis itu turut dipenuhi dengan pelanggan yang menikmati juadah sarapan pagi meskipun ketika banjir.
Biarpun ada yang memuji tindakan tersebut, namun masih ramai yang bimbang akan keselamatan pelanggan premis tersebut.
Menerusi Sinar Harian, pemilik kedai itu Mohd Khairul memberitahu dia membuat keputusan itu setelah memikirkan 10 kilogram (kg) doh roti canai telah siap diuli dan sedia untuk dijual.
Menurut Mohd Khairul, stok doh roti canai itu dihasilkan sebelum kedainya dinaiki air pada kejadian banjir Jumaat lalu.
Menurutnya, kedai makan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu itu mula dinaiki air pada jam 2 pagi sebelum air mencecah sehingga paras satu meter tiga jam selepas itu.
"Saya mula buka kedai jam 7 pagi dan pada waktu itu saya hanya tawakal sahaja sebab tak pasti sama ada atau tidak pelanggan yang datang.
"Tak sangka ramai pula pelanggan yang datang dan mereka siap ambil gambar kedai yang dinaiki air. Malah ada dalam kalangan mereka kata seronok sebab dapat duduk sambil makan dalam air kerana bukan selalu dapat merasa macam tu," katanya.
Menurutnya lagi, pada hari itu saja, dia berjaya menebar 120 keping roti canai.
"Bagaimanapun, saya hanya sempat beroperasi selama empat jam sebelum menutup kedai pada jam 11 pagi selepas air naik semakin tinggi sehingga kerusi dan meja pelanggan tenggelam," katanya.
Sumber: Facebook & Sinar Harian