Laman Utama
“Saya Teramat Rindukan Anak…Kali Terakhir Jumpa Pada 2018, Ada Cuba Telefon Tapi…” – Bekas Suami DSV
Mohd Amin Yasin, bekas suami usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) mengakui amat merindui anak-anaknya.
Ahli perniagaan tersebut mendakwa, kali terakhir bertemu anak-anaknya Nur Edlynn Zamilleen (Cik B), 15, dan Eric Zaquan (Kacak), 13, ialah pada Mei 2018 di ibu pejabat Vida Beauty Sdn Bhd di Ipoh, Perak dan perjumpaan itu hanya 15 minit sahaja.
Dakwa Mohd Amin lagi, dia ada cuba menghubungi kedua-dua anaknya itu tetapi tidak dapat bercakap dengan mereka.
“Kali terakhir saya jumpa anak pada Mei 2018, selepas itu tidak pernah sama sekali sehingga hari ini. Saya teramat rindukan anak-anak.
"Saya ada cuba menghubungi Cik B dan Kacak melalui panggilan telefon, tetapi orang lain yang jawab dengan pelbagai alasan dan sehingga membuatkan saya kecewa dan terasa hati.
"Saya merasakan anak-anak seperti dikawal supaya tidak berhubung dengan saya," katanya sebak.
Mohd Amin turut mendakwa, sebelum ini, dia hanya bertemu kedua-dua anaknya itu di kawasan pagar rumah Datuk Seri Vida di Meru, Ipoh atau di pusat beli-belah beberapa bulan sekali jika rindukan Cik B dan Kacak.
"Kedua-dua anak masih mengenali saya. Dalam pertemuan sebelum ini, mereka akan memeluk saya dan masih mengenali bapa kandung mereka.
"Itu sudah cukup buat saya. Bertemu dengan mereka sudah membuatkan saya gembira. Jika teringatkan mereka, hanya linangan air mata dan kenangan-kenangan lama kami bersama sebagai pengubat rindu," katanya.
Beliau mengakui hanya mengetahui perkembangan terkini mereka melalui media sosial dan televisyen.
Mohd Amin yang diwakili peguamnya, Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) bersama anak-anak.
"Sebagai bapa, saya amat rindukan mereka. Saya tidak mahu hak penjagaan. Cukup sekadar dibenarkan untuk bertemu mereka berdua dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Mohd Amin membuat tuntutan hadhanah di Mahkamah Syariah Kota Bharu, semalam (Selasa).
Pada prosiding berkenaan, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.
Untuk rekod, Mohd Amin berkahwin dengan Datuk Seri Vida pada tahun 2000 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Edlynn Zamilleen dan Muhammad Eric Zaquan.
Bagaimanapun, Muhammad Eddie Zuhdie,11, dan Muhammad Edrie Zikrie,10, meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di rumah Datuk Seri Vida di Meru Hill, Ipoh tiga hari sebelum menyambut Aidilfitri pada tahun 2013.
Mohd Amin sah bercerai dengan usahawan kosmetik itu pada tahun 2008 iaitu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Mohd Amin yang kini bekerja sebagai peniaga gerai makan di Kampung Pasir Senor, Machang sudah berkahwin dengan Wan Rahimah Wan Abd Rahman, 53, dua tahun lalu.
Foto/Sumber: Malaysia Kini, Harian Metro